TN50 dan Bahasa Melayu

Oleh JA’AFAR HAJI HAMDAN

Sejak Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan hasrat dan gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) pada pembentangan belanjawan 2017, pelbagai tafsiran dan andaian dibuat, sama ada oleh pertubuhan politik, pertubuhan bukan kerajaan, tokoh terkemuka atau masyarakat umum. TN50 seakan-akan dilihat sebagai suatu tanda untuk menentukan arah tuju Malaysia selanjutnya dalam tempoh tiga dekad.

         Rentetan proses membina TN50 yang bermula dengan memperoleh terlebih dahulu keperluan dan kehendak yang mendasari TN50 sebelum menstrukturkan objektif dan gagasan besar, TN50 dilihat sebagai rangka-rangka yang serius untuk memastikan negara Malaysia berada dalam kelompok 20 buah negara maju di dunia pada tahun 2050. Harapan itu menyerupai impian ketika Wawasan 2020 diperkenalkan.

         Walaupun proses TN50 masih dalam pembinaan konsep dan mencari kesebatian sebagai landasan untuk melakar rupa negara pada tahun 2050, usahausaha mendekati sasaran, khususnya belia, sedang giat dilakukan. Mahu tidak mahu TN50 begitu dekat dan intim dengan golongan belia dan generasi muda kerana keputusan TN50 diwujudkan bertujuan khusus untuk masa depan.

         Generasi muda yang menjadi pewaris kesinambungan untuk menerajui negara ini diberikan gambaran awal tentang arah tuju negara melalui TN50. Oleh hal yang demikian, generasi muda dilibatkan secara langsung dalam usaha merangka, membayangkan dan mengimaginasikan tujuan TN50 agar mereka yang berada dalam proses tersebut bukan hanya bersedia, tetapi membinanya dengan penuh keyakinan dan kewajaran. Justeru, dialog terawal diadakan tentunya dengan golongan generasi muda ini.

        Ketika dialog pertama antara perdana menteri dengan generasi muda ini diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya pada 19 Januari 2017 lalu, ada beberapa kerisauan wajar diberikan perhatian dalam konteks generasi muda melihat masa depan. Walaupun sifatnya masih berbentuk cadangan yang dilontarkan melalui dialog, namun inti pati dialog tersebut boleh memberikan sedikit gambaran tentang kemahuan dan kehendak mereka.

         Antara aspirasi generasi muda melalui pertemuan dengan perdana menteri pada majlis tersebut, paling jelas, hanya berlegar tentang ekonomi digital, pendidikan, kesedaran sivik, perpaduan, kesejahteraan bandar, pembangunan luar bandar, merapatkan jurang pendapatan, perkhidmatan awam, alam sekitar dan sukan.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran April

Leave a Reply