Siasah Bahasa, Bahasa Siasah?

 

Siasah dan bahasa ialah dua wahana yang berbeza, namun apabila diperkatakan dalam ranah yang sama, mampu membangkitkan pelbagai persepsi. Malahan, mungkin mencetuskan polemik yang berpanjangan. Adakah bahasa mempunyai agenda siasah tersendiri atau mampukah siasah mengekalkan keluhuran dan kedaulatan bahasa?

       Siasah bahasa dan bahasa siasah membawa dua pengertian yang berbeza walaupun kedua-dua frasa berkenaan terdiri daripada dua perkataan yang sama tetapi disongsangkan kedudukannya. Kata “siasah”, menurut Kamus Dewan edisi keempat, membawa dua pengertian. Pertamanya, pengetahuan tentang hal-hal kenegaraan atau politik, dan keduanya, kebijaksanaan untuk mencapai sesuatu maksud.

         Lantaran itu, apabila memperkatakan tentang siasah bahasa, apakah kita merujuk kepada hal-hal yang berkaitan dengan percaturan politik untuk mengembangkan bahasa atau kebijaksanaan mencapai sesuatu maksud berwacanakan bahasa Berbeza halnya dengan bahasa siasah yang khusus merujuk bahasa yang digunakan dalam bidang politik atau kenegaraan. Apaapapun, isu utama ialah bahasa.

        Bahasa Melayu yang termaktub sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara acap kali menerima tamparan hebat apabila hal-hal yang berkaitan dengan ranah pembangunan, kemajuan, ekonomi, matematik, multimedia, sains dan teknologi diperkatakan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, di samping wahana komunikasi antarabangsa. Rata-rata menyatakan bahawa bahasa Melayu tidak berkeupayaan dan tidak setanding dengan bahasa Inggeris untuk menzahirkan impian dan hasrat memacu negara ke aras yang membanggakan. Amat mendukacitakan sekali apabila soal kedudukan bahasa Melayu turut diseret ke kancah politik sehingga menyaksikan peminggiran secara “terhormat” bahasa Melayu. Walhal pada ketika negara mencapai kemerdekaan, agenda bahasa Melayu menjadi inti pati utama matlamat menyatukan rakyat berbilang kaum. Hal ini sering dilupakan kerana masyarakat era teknologi maklumat disarankan berpandangan jauh dan mengelakkan daripada bernostalgia. Mengingati sesuatu yang menjadi asas pembentukan sebuah negara yang berdaulat dan harmoni bukanlah nostalgia yang tidak membawa apa-apa makna. Malah, hal yang sedemikian itu mampu memperteguh semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini.

Mohidin Haji Malek

Leave a Reply