Bahasa dalam Sistem Perundangan Negara

Oleh DILAH TUAH

Bahasa merupakan wadah utama dalam sistem perundangan di dunia. Semua undangundang perlu ditulis dalam bahasa yang difahami oleh masyarakat yang memilikinya. Dalam kamar mahkamah sekalipun, bahasa menjadi faktor terpenting yang perlu diambil kira. Perbicaraan boleh tertangguh dan terganggu sekiranya tertuduh atau saksi tidak memahami bahasa yang digunakan oleh pihak mahkamah. Menurut Isabel Pefianco Martin (2012) dalam Expanding the Role of Philippine Languages in the Legal System: The Dim Prospects, terdapat satu kes pembunuhan di Filipina yang tertangguh hampir empat tahun disebabkan saksi tidak memahami bahasaInggeris yang digunakan dalam sesi perbicaraan tersebut.

        Kes tersebut hampir ditolak oleh Hakim Ronaldo Martin kerana mendapati tiada saksi atau wakil yang mengenali mangsa hadir semasa perbicaraan. Namun, sebelum membuat keputusan untuk menolak kes tersebut, Hakim Ronaldo sekali lagi bertanya dalam bahasa Filipina, iaitu, “Sino sa inyo ang nakakakilala sabiktima (Adakah terdapat seseorang di dalam bilik ini yang mengenali mangsa?). Pertanyaan hakim itu telah menyebabkan seorang wanita warga emas mengangkat tangan sebagai isyarat mengenali mangsa. Rupa-rupanya, sepanjang tempoh empat tahun kes tersebut dijalankan, wanita tersebut tidak memahami butiran perbicaraan kes pembunuhan tersebut kerana dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Perkara sebegini nampaknya mudah tetapi sebenarnya ramai yang terlepas pandang tentang peri pentingnya penggunaan bahasa kebangsaan dalam sistem perundangan di sesebuah negara.

        Menelusuri sejarah sistem perundangan di Malaysia,
khususnya sebelum kedatangan kuasa Barat di Tanah Melayu, terdapat dua buah undang-undang yang diguna pakai pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kedua-dua undang-undang ini berteraskan peraturan adat temenggung dan dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka yang ditulis dalam bahasa Melayu. Selepas Perjanjian Pangkor 1874, undang-undang Inggeris, iaitu Common Law mula mengambil tempat dalam bidang perundangan di Tanah Melayu sehingga merdeka. Bagi Sabah dan Sarawak, walaupun telah menerima pengaruh Inggeris seawal tahun 1882 dan 1842, undang-undang Inggeris hanya diterima secara rasmi di Sabah pada tahun 1951 melalui Ordinan Perlaksanaan Undang-undang Borneo Utara 1951, manakala Sarawak pada tahun 1949, iaitu melalui Ordinan Perlaksanaan Undang-undang Sarawak 1949.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Mac

Leave a Reply