Puritan Bahasa?

 

Pembicaraan isu bahasa dalam jurisprudens Malaysia dilihat sebagai
sesuatu yang sensitif tidak berkesudahan. Hal ini dikatakan demikian kerana hal bahasa sering dikaitkan dengan isu bangsa atau keturunan. Apatah lagi dalam konteks sebuah negara yang memperlihatkan kemajmukan dalam pelbagai ranah kehidupan. Walaupun kejelasan tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu tertera dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, hal yang sedemikian itu tidak membawa impak yang besar berbanding penetapan kewarganegaraan, hak penjagaan anak-anak mahupun hak bersuara dalam konteks penerbitan.

         Mendalami isu bahasa dalam ranah perundangan pasti membangkitkan rasa kurang senang dalam kalangan pihak tertentu, lebih-lebih lagi penegasan penggunaannya seperti yang diperuntukkan dalam kerangka perundangan tertinggi negara. Lantas, mereka yang menegakkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara digelar sebagai “puritan” bahasa, istilah yang kurang menyenangkan halwa telinga. Benarkah pejuang bahasa bersikap puritan? Puritankah tindakan untuk menegakkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang dituntut dalam Rukun Negara? Bukankah setiap warganegara yang melafazkan prinsip-prinsip Rukun Negara secara zahirnya mengaku janji untuk mempertahankan setiap klausa dan fasal yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan? Puritankah perbuatan sedemikian? Andai kata setiap jasad yang berjanji untuk menegakkan keluruhan perlembagaan dianggap puritan, sesuatu langkah perlu diambil untuk membetulkan persepsi berkenaan dan mengembalikan jurisprudens negara berada pada tahap yang diakui adil dan saksama.

Mohidin Haji Malek

Leave a Reply