Media Merevolusikan Bahasa

Oleh NUR QURRATU AIN

Dalam era yang berpaksikan teknologi maklumat, media
berperanan besar dalam penyebaran apa-apa juga informasi, sama ada yang berbentuk berita, ilmu pelbagai bidang, gosip, ramalan, analisis, dan sebagainya. Apa-apa jua maklumat yang disalurkan media menjadi rujukan dan panduan pembaca sehinggakan aspek pensahihan maklumat yang diterima kadang-kadang diketepikan. Hal yang sedemikian ini menjadikan media saluran yang amat berpengaruh, bukan sahaja dalam konteks penyampaian informasi, malah dalam konteks membentuk pemikiran dan cara hidup manusia era ini. Tidak hairanlah jika Jim Morrison, penyanyi, penulis lirik dan pemuisiyang juga merupakan penyanyi utama kumpulan The Doors menyatakan, “Sesiapa sahaja yang mengawal media, mengawal minda”.

        Sebelum melangkah lebih jauh dalam pembicaraan impak
media dan peranannya untuk memartabatkan bahasa, elok dilihat secara sepintas lalu definisi dan sejarah perkembangan media. Media, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, membawa maksud alat atau perantara komunikasi atau perhubungan, seperti radio, televisyen dan akhbar. Media am pula ditakrifkan sebagai pelbagai jenis saluran atau perantara komunikasi, alat atau saluran komunikasi amnya atau keseluruhannya, manakala media cetak pula ditakrifkan sebagai alat atau saluran komunikasi yang berupa bahan cetakan atau terbitan seperti surat khabar, majalah, dan lain-lain. Media elektronik dientrikan dengan membawa maksud alat atau saluran komunikasi yang berupa atau yang menggunakan alat-alat elektron moden seperti radio, televisyen, dan lain-lain, sementara media massa pula membawa maksud pelbagai jenis alat komunikasi yang dapat menyampaikan maklumat kepada masyarakat umum dengan cepat.

        Komunikasi manusia, yang bukan dalam bentuk penyuaraan, dijejaki bermula melalui seni lukisan pada dinding-dinding gua. Lukisan menjadi perlambangan untuk menyampaikan mesej atau menceritakan sesuatu peristiwa yang berlaku. Hal yang sedemikian ini memperlihatkan kepentingan komunikasi dan pemahamannya dalam konteks kelompok masyarakat yang berkenaan. Tamadun manusia semakin menyerlah dengan wujudnya bahasa atau sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Hal yang sedemikian ini memudahkan proses pemahaman dalam kalangan kelompok tertentu tentang apa-apa juga maklumat yang ingin disampaikan. Namun demikian, masih terdapat kekangan pemahaman antara dua atau lebih kelompok atau komuniti yang berbeza bahasanya. Dengan anugerah keupayaan untuk memadankan konsep sesuatu perkataan antara satu bahasa dengan bahasa yang lain skop komunikasi manusia melebar daripada yang bersifat dalaman kepada yang bersifat antara komuniti dan akhirnya bersifat global. Sifat ingin tahu manusia menjadi faktor pendorong untuk mempelajari bahasa yang digunakan oleh komuniti yang lain. Hal yang sedemikian ini bukan sahaja memudahkan proses perhubungan, akan tetapi turut memudahkan proses perkongsian ilmu dan maklumat.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Februari

Leave a Reply