Memartabatkan Bahasa, Memurnikan Maklumat

 

Dunia media semakin berkembang sejak dijejaki kemunculannya
seawal tahun 550 sebelum Masihi, selepas raja Parsi, iaitu Maharaja
Cyrus menawan Media. Bermula sebagai wahana pengumpulan
maklumat risikan, peluasan peranannya kini mencapai tahap
yang menukarkan wajah dunia menjadi arena tanpa sempadan. Daripada penyampaian maklumat melalui kaedah menghantar utusan sehinggalah media sosial, proses penyampaian maklumat semakin dipermudah dengan kecanggihan teknologi. Warga dunia mampu menerima apa-apa jua maklumat dalam sekelip mata. Hal yang sedemikian ini memudahkan bukan sahaja proses komunikasi, malah proses perkongsian ilmu, ekonomi, politik, dan pelbagai bidang lain.

        Tidak hairanlah andai bidang media merupakan bidang yang
menjadi wahana penting mencorak pemikiran dan sahsiah masyarakat. Kebergantungan terhadap media menyaksikan kepentingan penyaringan maklumat dan berita kadang-kadang dipinggirkan. Penerimaan bulat-bulat maklumat acap kali menimbulkan situasi genting yang membibitkan kegusaran yang akhirnya mengakibatkan kepada timbulnya pergeseran pandangan yang kurang sihat.

         Dalam konteks ini, bahasa berperanan penting dalam proses
penyampaian maklumat. Kepekaan dan kebijaksanaan menyampaikan maklumat agar tidak terpesong daripada konteks asalnya merupakan elemen penting yang harus diberikan penekanan. Oleh hal yang demikian, kemahiran berbahasa merupakan nadi penyampaian maklumat yang tepat, sahih dan
persis. Apatah lagi sekiranya maklumat atau berita yang disampaikan dipetik daripada sumber luar negara yang memerlukan kemahiran dalam sekurangkurangnya dua bahasa, iaitu bahasa sumber dan bahasa sasar.

Mohidin Haji Malek

Leave a Reply