Logamaya Jiwa Merdeka

 

Ogos menjengah lagi dan semangat patriotisme kembali menghuni
sejenak jiwa rakyat, umpama hadirnya Aidilfitri. Ruapan dan gejolak
rasa menyambut ulang tahun kemerdekaan negara diterjemahkan
lewat kibaran Jalur Gemilang pada premis kediaman, pejabat,
kilang, tempat ibadat, pagar, tiang, kenderaan, dan tempat-tempat lain. Gema lagu patriotik berkumandang melalui media elektronik bagi menyuburkan jiwa yang kering dan kontang semangat kebangsaannya. Kemuncaknya, pengiraan detik tengah malam, konsert ambang merdeka, serta permainan bunga api. Siangnya pula perbarisan raksasa yang penuh gilang-gemilang.

         Memadaikah terjemahan semangat patriotisme melalui sambutan yang sedemikian sifatnya? Tekalkah semarak api nasionalisme dan patriotisme dalam kalangan bangsa Malaysia, khususnya golongan generasi muda, ataupun kobar semangat itu umpama gah dan gemilangnya acara sambutan yang pada penghujungnya menghadirkan sampah sarap untuk dikutip dan dibersihkan oleh pekerja-pekerja pihak berkuasa tempatan? Apakah erti kemerdekaan dan harga itu difahami sepenuhnya oleh setiap warga? Atau mungkin perkataan “merdeka” bersinonim dengan bulan Ogos atau tidak ubah umpama kata pikat (punch line) yang ditautkan dengan iklan sesuatu produk atau perkhidmatan?

         Merdeka terlalu luas cakupannya dan bukan sekadar bermaksud bebas daripada belenggu penjajahan kuasa asing. Merdeka turut menyentuh aspek pemikiran, tindakan, amalan, anutan, kepercayaan, kesetiaan, kehormatan, keluhuran, kecintaan, dan sebagainya. Apakah maknanya sambutan kemerdekaan setiap tahun andai kata erti kemerdekaan itu tidak dijiwai sepenuhnya dan akhirnya menghadirkan warga sebuah negara merdeka yang masih terjajah intelek, emosi dan spiritualnya akibat virus taasub dan pengagungan terhadap “kelebihan dan keistimewaan” warisan penjajah?

Mohidin Haji Malek

Leave a Reply