60 Tahun DBP Meredah Samudera Pemartabatan Bahasa dan Persuratan Melayu di Malaysia

Oleh AZIZUL HAJI ISMAIL dan VIJAYALETCHUMY A/P SUBRAMANIAM

Pada 22 Jun 2016 genap 60 tahun usia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan perancangan bahasa Melayu yang tunggal dalam negara ini. Jika dinilai dari segi umur manusia, peringkat umur tersebut telah mencapai tahap usia “warga emas” ataupun umur bersara wajib bagi anggota perkhidmatan awam di Malaysia. Namun, usaha pemartabatan bahasa Melayu di negara ini tidak mempunyai noktah penghujung sejak DBP ditubuhkan pada 22 Jun 1956, yang lahir daripada suara keramat rakyat yang pada masa itu mahukan bahasa Melayu dibela di bumi bertuah ini. Hal ini dikatakan demikian disebabkan elemen bahasa merupakan tonggak pembinaan negara bangsa dan merupakan lambang kemerdekaan sejati negara, yakni bebas daripada imperialisme dalam pelbagai bentuk, termasuk imperialisme bahasa oleh negara penjajah.

         Pada masa kini dan masa akan datang, DBP perlu terus ampuh dan relevan dalam arus perdana bagi memastikan peranan DBP sebagai badan yang memegang amanah untuk memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu dalam negara akan terus “dimuliakan” oleh seluruh rakyat Malaysia. Malahan, tanggungjawab DBP tersebut juga merupakan “tiang seri” kepada elemen asas, yakni unsur tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang terkandung dalam Perkara 152. Jika “roboh” salah satu tiang seri tersebut maka akan musnahlah pembinaan negara bangsa sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Pencapaian Pemartabatan Bahasa dan Persuratan Melayu di Malaysia

DBP telah berjaya memainkan peranan pembinaan bahasa dan persuratan Melayu yang merupakan elemen perancangan korpus dalam konsep perancangan bahasa di sesebuah negara. Dalam hal yang amat penting bagi “memandaikan” rakyat Malaysia ini, DBP mestilah menyediakan prasarana ilmu yang cukup kepada rakyat. Penyediaan prasarana tersebut dilaksanakan di bawah tiga fungsi utama, iaitu perkamusan, peristilahan dan leksikologi, dan ensiklopedia. Antara “berita kejayaan” program tersebut termasuklah penyusunan kamus ekabahasa, penyusunan kamus bahasa sukuan, penyusunan ensiklopedia dan penyusunan 31 buah daftar, glosari, dan kamus istilah dalam pelbagai bidang ilmu, bermula daripada istilah ukor (1965) sehinggalah penggubalan istilah dalam bidang aeroangkasa, roket, AIDS serta istilah yang relevan dan menyeluruh dalam aspek kehidupan masyarakat pada masa kini.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Julai

Leave a Reply