Meluhurkan Warisan Leluhur

 

Perlembagaan ialah undang-undang dasar pemerintahan negara.
Dengan kata lain, perlembagaan menentukan cara atau sistem
pemerintahan sesebuah negara. Malaysia merupakan salah sebuah
negara yang mengamalkan konsep konstitusionalisme, iaitu sistem
atau prinsip pemerintahan berdasarkan perlembagaan. Perlembagaan yang digubal apabila negara memperoleh kemerdekaan daripada pemerintahan British bertujuan memastikan tadbir urus sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai latar kaum, budaya, amalan, dan adat resam mampu terlaksana dengan lancar dan harmoni. Lantaran itu, unsur-unsur tertentu yang dilihat sebagai komponen penting untuk memastikan kesefahaman, kesepaduan, kesepakatan, dan keharmonian diberikan penekanan dan perhatian khusus.

        Namun, untuk mendukung keluhuran Perlembagaan, tidak seharusnya wujud sikap dwistandard, apatah lagi dalam kalangan pemerintah, pentadbir, pendukung, dan pelaksana. Apa jua perkara yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan harus dipertahankan tanpa ada sifat prejudis, terutama sekali dalam hal mempertahankan keluhuran empat unsur tradisi yang merupakan roh kontrak sosial yang menjadi faktor utama untuk menjamin kestabilan, keutuhan, permaufakatan, kesepaduan dan keharmonian senantiasa terpelihara. Akan tetapi, sejak akhir-akhir ini, terkesan sikap dwistandard dan ketidakselarasan sesetengah pihak untuk mempertahankan keluhuran perlembagaan. Kobar semangat begitu tinggi dan laungan patriotik untuk mendukung hal yang dimaktubkan dalam perlembagaan lantang gemanya. Hujah diletakkan atas landasan menjaga kepentingan kaum yang majmuk sifatnya.

Mohidin Haji Malek

Leave a Reply