DBP Bestari: Menangani Masa Kini, Mendepani Masa Muka

Oleh Haji Abdul Adzis Abas
Ketua Pengarah DBP

Sebagai institusi yang lahir daripada perjuangan luhur dan semangat waja rakyat, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus melangkah maju untuk melaksanakan kebertanggungjawaban dan peranannya membina, memajukan, serta memantapkan bahasa Melayu agar bahasa itu berkeupayaan menjadi bahasa moden yang dapat memainkan fungsinya sebagai bahasa pengantar pendidikan, ilmu, persuratan, urus tadbir negara, komunikasi, pengucapan budaya tinggi, serta bahasa penyatuan kaum-kaum di Malaysia.

Sepanjang 60 tahun kewujudannya, DBP telah berkembang pesat, daripada bangunan enam tingkat, kini bangunan 31 tingkat tersergam indah dan megah di tengah-tengah kota Kuala Lumpur – daripada dua pejabat cawangan, DBP terus menapak maju dengan tertubuhnya empat pejabat wilayah, yakni Selatan, Utara, Timur dan Tengah.

       DBP juga kini, sejauh yang berkaitan dengan bidang kebahasaan dan kesusasteraan Melayu, tekal menjadi institusi yang berintegriti, dan diiktiraf oleh pelbagai pihak berwenang, bukan sahaja di dalam negara, bahkan pada peringkat serantau serta antarabangsa. Lebih membanggakan, DBP kekal menjadi penerbit dalam bahasa Melayu yang terbesar, dan berwibawa.

          Seperti juga institusi-institusi kerajaan yang lain, kendati DBP harus berbangga dengan perkembangan dan kemajuan yang sudah dicapainya, namun DBP juga cukup berhati-hati tentang masa mukanya. Banyak cabaran yang harus didepani olehnya. Antara cabaran masa kini yang sedang DBP hadapi, sekali gus tangani dengan bijaksana termasuklah perubahan demografi rakyat Malaysia yang kian rencam, kemajuan teknologi informasi dan komunikasi yang semakin pantas dan canggih, perkembangan pendidikan semakin berorientasikan e-pengetahuan, keperluan bahan pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk e-buku dan i-buku, pertumbuhan ekonomi yang tidak menentu, serta perubahan dasar-dasar kerajaan, di samping kehendak pelanggan yang kian pelbagai.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Jun

Leave a Reply