Imbasan Bahasa Melayu di Sarawak

Oleh Dilah Tuah

Perkembangan bahasa Melayu di Sarawak biarpun perlahan, tetapi kadang kala boleh mengundang polemik yang berpanjangan. Sarawak yang merupakan negeri terbesar di Malaysia, turut memiliki kepelbagaian etnik, bahasa dan budaya. Di samping itu, penggunaan bahasa Inggeris yang meluas dalam semua urusan kerajaan negeri sejak pentadbiran Brooke, menjadikan Sarawak antara negeri yang masih belum melaksanakan dasar bahasa kebangsaan sepenuhnya. Jika dilihat dari sudut sejarah, kerajaan negeri Sarawak sehingga ke hari ini, tidak pernah mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal di negeri tersebut, seperti yang dilakukan oleh negeri Sabah pada tahun 1971.

         Menurut Leigh, M.B (1974) dalam The Rising Moon: Political Change in Sarawak, pada tahun 1985, badan perundangan negeri Sarawak bersetuju untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, selepas segala kekurangan infrastruktur dan halangan berjaya ditangani. Dalam sistem pendidikan di Sarawak, bahasa Melayu hanya digunakan sebagai bahasa pengantar pada tahun 1977, pada peringkat sekolah rendah (darjah satu). Manakala pada peringkat sekolah menengah, bahasa Melayu mula digunakan sebagai bahasa pengantar sehingga tingkatan lima pada tahun 1987.

         Kesan pascaimperialisme yang telah ditinggalkan oleh keluarga Brooke dan Inggeris, turut memberikan impak yang cukup besar terhadap perkembangan bahasa Melayu di Sarawak. Hal ini dibuktikan dengan kajian yang telah dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1983, iaitu selepas 20 tahun Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia. Hasil kajian tersebut mendapati bahawa pada keseluruhannya, terdapat tiga pola penggunaan bahasa rasmi di Sarawak iaitu pola bahasa Inggeris, pola bahasa Melayu dan pola dwibahasa bahasa Inggeris-bahasa Melayu.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Januari

Leave a Reply