Kisah Penjejak Tamadun

 

Di Malaysia tidak terdapat banyak pertubuhan yang sendi dan asasnya berpaksikan keilmuan, apatah lagi yang didasarkan kepada konsep pengembaraan. Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) merupakan salah sebuah pertubuhan NGO yang meraikan wacana keilmuan dan berfokuskan kegemilangan tamadun lampau dalam meneruskan legasi tamadun tersebut untuk manfaat bersama.”Perigi” sejarah, budaya dan tradisi tamadun lampau digali semula demi mencari”permata ilmu” yang lama terpendam.

      Hasil penemuan ilmu tersebut bukan sahaja menjadi bahan sejarah yang bernilai, malah boleh diambil “madu” faedahnya untuk kelangsungan dan kebaikan masyarakat dan negara. Kumpulan GPTD yang kebanyakan ahlinya merupakan golongan belia bawah umur 40 tahun ini bukan sahaja gigih dalam menjejaki tamadun silam, malah meraikan kepelbagaian pendapat dan pandangan demi sebuah wacana keilmuan yang jitu dan utuh. Untuk itu, Dewan Bahasa mewawancarai Presiden GPTD, Encik Abdul Hakim Shahbuddin, bagi mendapat pandangan dan perspektif beliau mengenai gerak kerja, persoalan bahasa Melayu dan isu yang berlegar dalam kalangan generasi muda.

DB: Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) merupakan sebuah kumpulan berdaftar yang sering menggerakkan aktiviti keilmuan dan ketamadunan. Sebagai Presiden GPTD, boleh tuan jelaskan secara ringkas asas, misi, objektif serta perancangan masa hadapan GPTD?

Secara asasnya, GPTD ditubuhkan pada tahun 2001 dan berdaftar secara rasmi pada tahun 2010 di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Kumpulan ini diasaskan oleh Tuan Haji Ahman Azam. Ketika itu, beliau baru sahaja pulang dari Sepanyol dan melihat satu tamadun yang hebat di Andalusia. Beliau merasakan bahawa di Malaysia patut ada sebuah kumpulan anak muda yang boleh menjejaki dan mencari sejarah serta tamadun yang berada di seluruh dunia. Jadi, beliau mengumpulkan beberapa orang anak muda dan wujudlah GPTD.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Leave a Reply