Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2015

Oleh Mohamad Faizal Jamil

Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) telah dilancarkan sejak tahun 1999 sebagai acara tahunan yang dipelopori oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia bagi menyemarakkan semangat, jati diri dan patriotisme terhadap negara melalui wahana, wacana dan prasarana bahasa dan sastera kebangsaan. Sehingga tahun 2009, BBSN telah melalui penjenamaan semula dan dikenali sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang disambut pada setiap bulan Oktober. Hal ini bermakna BBSN/BBK telah dianjurkan selama 16 tahun di negara kita. Semua pejabat DBP di seluruh negara menjadi paksi penganjuran pelbagai kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan di wilayah masing-masing bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan bahasa kebangsaan negara, iaitu bahasa Melayu.

     DBP Cawangan Sarawak yang diwujudkan pada tahun 1977 tidak terkecuali daripada menggalas amanah murni ini ke arah menyebarluaskan usaha pemartabatan bahasa Melayu kepada seluruh masyarakat berbilang kaum yang terdiri daripada 27 suku etnik. DBP Cawangan Sarawak sedar dan amat prihatin terhadap kepentingan, peranan dan fungsi dominan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai elemen fundamental dalam pembentukan bangsa dan negara bangsa Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Usaha BBK ini merupakan usaha memupuk dan menyuburkan perasaan cintakan bahasa kebangsaan di Malaysia, umumnya, dan Sarawak, khususnya.

Berita ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Leave a Reply