Resah Seorang Penulis

Oleh Mohd Razan

Judul : Monolog Kecil: Tahun-Tahun Gelora
Pengarang : Baha Zain
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbitan : 2015
Harga : RM 30.00

Jika bahasa dikatakan sebagai jiwa sesuatu bangsa, maka bahasa juga boleh dikatakan sebagai citra masyarakatnya. “Bahasa berumahkan masyarakat” sepertimana “masyarakat berumahkan bahasa”. Bahasa dibentuk oleh masyarakat begitu, juga hal yang sebaliknya. Hal inilah sedikit sebanyak tercermin melalui himpunan pojok Baha Zain yang dicantumkan dalam sebuah buku yang berjudul ‘Monolog Kecil: Tahun-Tahun Gelora’. Tulisan yang terkandung dalam buku ini merupakan hamparan buah fikiran Baha Zain dalam kolumnya yang diterbitkan oleh Dewan Sastera bermula Julai 2005 sehingga Disember 2011. 78 buah pojok ini dapat dilihat sebagai sebuah dokumentasi terhadap peristiwa-peristiwa signifikan yang berlaku sepanjang tahun tersebut yang sesuai diambil sebagai nasihat dan peringatan kepada kita dalam menghadapi ketidakpastian masa hadapan.

      Tulisan tersebut lebih berupa refleksi atau muhasabah yang
disandarkan kepada pengalaman lepas beliau yang dituturkan dalam konteks peristiwa yang sedang berlaku ketika karya tersebut ditulis. Dalam hal ini, Baha Zain secara tepat mengungkapkan keperluan seseorang seniman atau karyawan untuk menghasilkan sebuah karya yang membumi serta lahir daripada kantung masyarakatnya sendiri. Tulis beliau, “Orang tidak menulis dengan memetik persoalan dari udara.” Kurang lebih, maksud beliau bahawa sebuah karya atau penulisan merupakan hasil cerapan dan renungan seorangkaryawan terhadap kemelut yang sedang dihadapi oleh masyarakat yang dihidupinya.

        “Masalah-masalah semasa yang menimbulkan keprihatinan,” tambah beliau, “menimbulkan beban fikiran serta perasaan bagi pengarang yang cinta akan rakyat dan tanah airnya.” Persoalan-persoalan ini tidak diada-adakan atau wujud secara terpisah melainkan bersinggung secara langsung dengan keadaan sebenar masyarakat.

      Citra masyarakat digambarkan oleh keperibadiannya dalam berbahasa, iaitu bagaimana ahli masyarakat dan pemimpin menyantuni bahasanya sendiri. Kegalauan Baha Zain berkenaan peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bagi masyarakat, terpapar dalam buku tersebut. Antara tulisan yang jelas menggambarkan kebimbangan, dan pada satu takah, kejelikan beliau terhadap keadaan tersebut ialah Rindu dan Patriotisme, Generasi Jambatan Bengkok: Reka Cipta Politik, dan yang terutama sekali Tahun-Tahun Sial.

Ulasan ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Leave a Reply