Penterjemahan: Kualiti Seiring Teknologi

Oleh Wan Halizawati Wan Mahmood

Penterjemahan bukan sekadar suatu kerja bersifat mekanikal. Hal ini memerlukan kemahiran dan menuntut pendekatan artistik. Seseorang penterjemah itu bukan sekadar mengetahui peraturan
menterjemah, tetapi juga perlu memiliki resepi tambahan untuk berjaya dalam kerja menterjemah ke arah menghasilkan output yang bagus dan berkesan.

Dalam tempoh beberapa tahun ini, satu trend baharu telah muncul dalam kerjaya penterjemahan, iaitu kewujudan prosedur standard antara hubungan firma atau syarikat penterjemahan dengan pelanggan mereka. Apabila bercakap tentang hubungan ini, maka sudah tentu elemen kualiti menjadi teras yang sangat penting dalam kalangan penterjemah yang berkhidmat di firma tersebut. Kualiti yang dimaksudkan berpandukan dua prinsip asas, iaitu kualiti adalah bersifat relatif, bahawa kita menanggapi
tahap kualiti dengan cara berbeza untuk satu produk yang sama, manakala prinsip kedua ialah tahap kualiti itu tertakluk kepada kekangan keperluan kerja penterjemahan.

Makalah ini tidak bertujuan mengulas panjang lebar tentang prinsip kualiti, sebaliknya artikal ini merupakan garis panduan bagi penterjemah yang sentiasa mengejar masa dalam memenuhi tuntutan dan keperluan pelanggan. Yang berikut diperincikan langkah proaktif yang mungkin dapat membantu penterjemah menghasilkan tugasan mereka dengan lebih berkesan, terutama bagi mereka yang menggunakan komputer serta Microsoft Office.

Elakkan kerja dua kali

Sebaik-baik sahaja diberikan tugasan menterjemah, penterjemah sewajarnya melakukan kerja mereka dengan cermat dan teliti dengan kesilapan paling minimum, mungkin sedikit kesilapan ejaan sahaja, tanpa melibatkan unsur kesalahan makna atau maksud. Hal ini demikian kerana kerja penyuntingan dan penyemakan semula teks terjemahan itu amat memenatkan. Kerja ini juga memakan masa dan mungkin mengundang keadaan “pandangan kedua” yang bertentangan dengan hasil asal terjemahan tersebut, mengakibatkan risiko “kerja dua kali” atau rework. Justeru, sebaikbaik mungkin menterjemah seolah-olah bahan berkenaan akan diserahkan atau diterbitkan pada masa itu juga. Semakin minimum kesilapan, maka semakin rendah peluang kesilapan dikesan semasa proses penyuntingan dan baca pruf (sekiranya ada), dan keadaan ini sudah tentu akan menjimatkan masa.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Leave a Reply