Bahasa Alat: Pembentukan Negara Bangsa Jepun

Oleh Awang Azman Awang Pawi

Ketika pembukaan Muzium National Kyushu pada Oktober 2005, Taro Aso Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Dalam Negeri Jepun menyatakan bahawa Jepun merupakan satu-satunya negara di dunia ini yang mempunyai ”satu bangsa, satu peradaban, satu bahasa, satu budaya dan satu etnik”. (The Japan Times, 18 Oktober, 2005). Sebenarnya ini bukanlah kali pertama ucapan seumpama ini ditegaskan oleh ahli politik kanan Jepun. Pada tahun 1986, Perdana Menteri Jepun, Yasuhiro Nakasone juga pernah menyatakan pendirian yang sama dengan menyatakan bangsa Jepun merupakan bangsa yang homogen. Bahasa Jepun merupakan alat terpenting untuk memajukan pembangunan ekonomi dan pendidikan negara tersebut.

Pembaharuan Meiji dan Budaya Ilmu

Ketika perhatian negara asing seperti Amerika Syarikat, Great Britain, Perancis dan Rusia terhadap Jepun semakin meningkat, Jepun, di bawah Kerajaan Meiji, mengambil sikap berhati-hati dan sentiasa memastikan mereka tidak terjajah oleh kuasa asing. Bagi memodenkan Jepun, Kerajaan Meiji mengadakan pembaharuan atau pemulihan Meiji yang membawa kepada perubahan politik dan struktur pemerinthan Jepun pada tahun 1860-an. Ketika itu berakhirnya Zaman Syogun Tokugawa atau dikenali sebagai Edo. Pembaharuan yang berlangsung selama 45 tahun ini membawa Jepun menjadi kuasa besar selepas beberapa dasar penting untuk memodenkan negara dilaksanakan. Antara faktor yang menjadi penyumbang besar termasuklah melalui industri terjemahan. Kedatangan Barat, membuatkan Jepun sedar bahawa mereka perlu mempelajari ilmu untuk berdaya maju. Justeru, dalam pengisytiharan Sumpah Lima Piagam 1868, salah satu dasar penting ialah pencarian ilmu antarabangsa untuk memperkasakan asas pemerintahan maharaja.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Leave a Reply