Kata Adjektif dan Penguat dalam Dialek Kelantan

Oleh Zaidi Ismail

     Dialek atau disebut juga loghat merupakan satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah. Bentuk bahasa ini berbeza daripada bahasa standard. Menurut Hari Murti Kridalaksana (1983), dialek ialah variasi bahasa yang berbeza-beza menurut pemakainya (penggunanya).

       Abdul Hamid Mahmood (1994), dalam Sintaksis Dialek Kelantan menyatakan bahawa antara faktor yang menimbulkan kepelbagaian dialek, termasuklah faktor georafi, politik, penjajahan, perdagangan dan masa. Di Semenananjung Malaysia misalnya, faktor politik telah membahagi-bahagikannya kepada unit-unit politik yang lebih kecil menjadikan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Daripada negeri-negeri itu, timbullah pelbagai nama dialek mengikut negeri dan dialek Kelantan salah satu daripadanya. Dialek-dialek tersebut sebenarnya merupakan variasi kepada bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia.

      Selain Abdul Hamid Mahmood, antara pengkaji yang telah melakukan kajian terhadap dialek Kelantan termasuklah, Asmah Haji Omar (1985) dan Ajib Che Kob (1985). Walaupun telah banyak pengkaji terdahulu yang telah melakukan kajian terhadap dialek Kelantan, kajian-kajian yang dilakukan itu tidak sama. Masih ada ruang untuk melakukan kajian terhadap dialek ini. Antara aspek kajian yang boleh dilakukan termasuklah kajian dalam aspek morfologi, khususnya penggunaan kata adjektif dan penguat dalam dialek Kelantan.

      Nik Safiah Karim et al. (2008) dalam buku Tatabahasa Dewan menyatakan bahawa kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif. Kata ini dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu kata penguat hadapan, kata penguat belakang, dan kata penguat bebas. Kata penguat hadapan ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa atau kata adjektif, seperti terlalu tinggi, paling sedap, agak dalam, cukup indah, makin mahal dan kurang sesuai. Kata penguat belakang pula ialah perkataan yang letaknya di belakang kata adjektif, seperti baik sekali, lambat benar, indah nian dan buruk betul. Sementara kata penguat bebas ialah perkataan yang letaknya atau kedudukannya bebas, iaitu sama ada di hadapan atau di belakang kata adjektif. Contohnya amat kemas, kemas amat, sungguh indah, indah sungguh, sangat besar dan besar sangat.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Leave a Reply