Bahasa Inggeris dan Daya Saing Global?

Oleh Zulkifli Salleh

      Dengan memetik data daripada Statista, Joe Myers dalam “Agenda” WEF menunjukkan bahawa bahasa Inggeris dituturkan paling meluas di seluruh dunia, dengan 1.5 bilion penutur. Oleh sebab kita semakin berhubung, maka bahasa Inggeris merampas kedudukan bahasa dominan komunikasi global, terutamanya melalui Internet. Dalam “Which Languages are Most Widely Spoken?” Myers menunjukkan bahawa bahasa Cina, yang merupakan bahasa rasmi di China, Taiwan, dan Singapura, menduduki tempat kedua, dengan jumlah 1.1 bilion orang penutur. Bahasa Hindi menduduki tempat ketiga, dengan 650 juta penutur. Kedua-duanya, iaitu bahasa Cina dan bahasa Hindi, mengatasi bahasa Inggeris dari penutur asli, dengan penutur asli terdiri daripada hanya 25 peratus daripada jumlah bilangan penutur bahasa Inggeris. Sementara itu, bahasa Sepanyol di tempat keempat, dengan 420 juta orang penutur, dan Perancis di tempat kelima dengan 370 juta orang penutur.

     Beberapa bulan lalu, seperti yang dilaporkan, wujud usaha untuk mewujudkan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik (PPSMI). Hal ini tidak memeranjatkan sama sekali, kerana ada usaha mendesak kerajaan mewujudkan semula sekolah aliran Inggeris negara ini. Ketika makalah ini ditulis, 20 Oktober, dilaporkan dalam Facebook, berlangsung sidang media membantah usaha
menghidupkan semula PPSMI.

      Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memperkenalkan PPSMI pada tahun 2003, tidak berasa gembira tentang keputusan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyuddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran pada tahun 2009 “untuk kembali mengajarkan kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Melayu mulai 2012.” Mantan Perdana Menteri itu menyatakan pendiriannya dalam bukunya, Doktor Umum: Memoir
Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menurut beliau, perkara tersebut merupakan “satu kesilapan.” Beliau juga tidak bersetuju dengan keputusan Tun Abdul Rahman Yaacob, Menteri Pelajaran selepas Peristiwa 13 Mei, yang mengubah sistem pendidikan, yang menurut beliau, merupakan “agenda politik, bukannya akademik”.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Leave a Reply