Megah Bahasa Perkasa Bangsa

Oleh Dilah Tuah

     Kebanggaan setiap bangsa terhadap bahasanya tidak pernah serupa. Di Barat, orang Perancis sanggup bermatia-matian mempertahankan mata wang pound sterling mereka. Manakala di India, beberapa buah bandar raya besar telah diubah namanya, sesuai dengan sebutan dan semangat bahasa kebangsaan di sana. Misalnya, Bombay yang diberikan nama oleh penjajah Portugis, telah ditukar menjadi Mumbai dalam bahasa Marathi pada tahun 1995. Seterusnya, Madras menjadi Chennai dalam bahasa Tamil pada 1996 dan Calcutta menjadi Kolkata dalam bahasa Banggali pada 2001. Perubahan di India ini amat signifikan untuk meletakkan semula identiti nasional dan nilai citra tempatan pada nama-nama bandar, tempat dan jalan. Hal ini dikatakan demikian kerana jika peribumi sendiri tidak mendaulatkan penggunaan bahasa kebangsaan, siapa lagi yang akan memartabatkannya? Justeru, rasa megah untuk bertutur dan menggunakan bahasa kebangsaan, harus ada dalam jiwa setiap bangsa yang merdeka.

    Perkembangan muktahir ini bukan hanya berlaku di India. Di Afrika, beberapa buah negara yang terdiri daripada pelbagai puak dan suku telah bersepakat untuk menerima bahasa Kiswahili sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini sedemikian kerana bahasa Kiswahili dituturkan meluas di Tanzania, Kenya, Uganda, Zanzibar, Republik Demokratik Congo, Zambia, Mozambique, Malawi, Rwanda, Burundi, Somalia dan Kepulauan Comoro. Menurut Rose Athumani (2015) dalam artikelnya yang bertajuk “Africa: Nations Must Be Proud of Their National Languages” (Tanzania Daily News), bahasa Kiswahili merupakan bahasa rasmi Kesatuan Afrika (African Union). Perkara ini bermula semasa Persidangan Kesatuan Afrika di Addis Ababa, Ethiopia, apabila Presiden Mozambique, Joaquim Chissano mengendalikan mesyuarat dalam bahasa Kiswahili untuk tujuan membangkitkan semangat kebangsaan terhadap identiti dan bahasa Afrika. Malah, pada Julai 2015, Presiden Jakaya Kikwete yang menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Ethopia, Heilemariam Dessalegn telah berucap dalam bahasa Kiswahili, sebagai usaha beliau untuk mempromosikan bahasa kebangsaan dalam kalangan pemimpin di benua Afrika.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Januari

Leave a Reply