Melentur Lidah, Memperkasakan Semangat

 

       Selamat tahun baharu 2017. Pastinya ramai yang menaruh harapan agar tahun baharu ini menjanjikan perkembangan yang positif dalam apa-apa jua bidang, sama ada yang langsung melibatkan diri sendiri, mahupun yang menjangkau kehidupan seluruh warga ibu pertiwi yang tercinta, Malaysia.

     Membenihkan kecintaan terhadap apa-apa jua yang menyantuni kehidupan kita sewajarnya dimulakan dari peringkat awal. Perasaan cinta terhadap Tuhan, raja, tanah air, bangsa, bahasa, budaya dan sebagainya, perlu dipupuk dalam setiap atma warganegara untuk menzahirkan aspirasi pembentukan jati diri satu bangsa Malaysia yang tersohor dan bermaruah. Bangsa yang tersohor dan bermaruah ialah perlambangan ketinggian tamadun dan budaya ilmu sesebuah negara.

      Dalam zaman yang mencabar, sikap keempunyaan di samping kemegahan sebagai warga sebuah negara yang berdaulat, merupakan elemen utama untuk menghadapi apa-apa jua rintangan dan hambatan yang terentang di hadapan. Sikap yang dipupuk dan dibentuk melalui kesefahaman dan penyatuan berlandaskan komunikasi berkesan dalam satu bahasa menjamin pencapaian kesepakatan yang merupakan tonggak kekuatan sesuatu bangsa.

Mohidin Haji Malek

Leave a Reply