Wajah di Sebalik Kaca

Oleh Nur Qurratu Ain

       Melahirkan modal insan yang berkualiti merupakan prasyarat yang utama untuk memastikan kelangsungan pembangunan negara. Tugas dan tanggungjawab ini dipikul bersama oleh institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) di negara ini. Dua teras yang digariskan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) memfokuskan secara langsung kepada peranan ini, iaitu memperkasakan institusi pendidikan tinggi dan soal pengurusan akses dan ekuiti. Peranan Institusi Pengajian Tinggi Swasta penting dalam perkembangan pengajian tinggi negara dari segi penyediaan peluang pengajian, penjimatan pertukaran wang asing dan sumbangan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa. Sejak tahun 1980-an IPTS telah berkembang dengan pesatnya. IPTS menawarkan kursus-kursus pengajian pada peringkat sijil dan diploma secara kerjasama dengan universiti atau badan professional dari luar negara seperti di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia dan New Zealand.

       Pada tahun 1990-an perkembangan pendidikan tinggi swasta semakin meningkat apabila semakin banyak IPTS menawarkan kursus pengajian pada peringkat sijil, diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang seperti perniagaan, kejuruteraan, komunikasi, komputer, dan teknologi maklumat melalui program kerjasama dengan United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Kanada dan Perancis. Program kerjasama ini dijalankan melalui Program Berkembar, Program Pindahan Kredit, Program Pengiktirafan Luar (Advance Standing Programme), dan Program Profesional. Program berkembar 1+2, 2+2 atau 3+1 yang dijalankan ketika ini memerlukan pelajar meneruskan pengajian pada tahap kedua selama satu atau dua tahun terakhir di universiti luar negara.

       Kegawatan ekonomi dunia pada tahun 1997 telah memberikan impak yang signifikan kepada perkembangan pendidikan tinggi swasta tempatan. Dengan pengurangan penghantaran secara besar-besaran pelajar tajaan kerajaan ke luar negara, IPTS bukan bertaraf universiti telah dibenarkan untuk mengendalikan kursus pengajian dengan kerjasama universiti luar negara di UK, Australia, New Zealand dan Perancis melalui program 3+0, dengan pelajar dapat menamatkan keseluruhan pengajian di IPTS tempatan. Sehingga akhir tahun 2000, sebanyak 32 IPTS telah diberikan kelulusan untuk mengendalikan program 3+0. Pengendalian program ini telah memberikan pengalaman berguna kepada IPTS dalam mengendalikan kursus pengajian pada peringkat ijazah pertama, dan dalam masa yang sama, telah berjaya menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk mengikuti pengajian tinggi di Malaysia.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Leave a Reply