Telur Sebiji, Ruih Sekampung

      Disember memendamkan resah dan gusar dalam perjuangan memartabatkan dan memasyarakatkan bahasa Melayu di bumi bertuah. Keringat pencetus pejuang bahasa yang mengusung keranda 152 sejat sudah di bawah bahang kerancuan pemikiran pendesak dan pelobi yang memperlekehkan kedudukan dan mempersoalkan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Suara-suara pejuang bahasa Melayu semakin sirna ditelan gema lantang serta gerak kerja terancang golongan pendesak yang memperjuangkan agar bahasa kedua, bahasa Inggeris ditingkatkan penguasaannya bagi membolehkan generasi baharu mampu bersaing dalam
pasaran kerja pada peringkat tempatan dan global. Biarpun jelas Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, namun, golongan yang bersumpah setia untuk menegakkan Keluhuran Perlembagaan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara tetap berkeras dengan pendirian mereka.

      Agenda pemerkasaan bahasa Inggeris seakan-akan mendapat liputan meluas dalam beberapa akhbar berbahasa Inggeris arus perdana sejak akhir-akhir ini. Malah, dengan megah, anak watan mendakwa bahawa pemansuhan PPSMI merupakan langkah kurang bijak dalam usaha melahirkan generasi muda yang berdaya saing. Individu yang diwawancarai tanpa segan silu mengutarakan pendapat, tanpa data sahih, akan peningkatan dalam pemahaman para pelajar yang diajarkan dalam medium bahasa Inggeris. Usaha untuk memperkasakan bahasa Inggeris sememangnya baik, namun, dalam menzahirkan matlamat berkenaan, usah perlekehkan wibawa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan perpaduan.

    Pemerkasakan bahasa Inggeris memerlukan sistem pengajaran yang terancang dan mantap di samping tenaga pengajar yang mahir. Andai kata pendekatan yang betul dipraktikkan, penguasaan bahasa Inggeris mampu dipertingkatkan. Kerjasama antara golongan yang memperjuangkan kepentingan bahasa Inggeris dengan golongan pejuang bahasa Melayu perlu digerakkan dalam mencari kaedah menang-menang dalam agenda “sorong-tarik” yang tidak akan membawa keuntungan kepada mana-mana pihak, malah, mencalarkan keutuhan perpaduan yang sekian lama terbina.

Mohidin Haji Malek

Leave a Reply