Kita dan Bahasa (Bahagian Ketiga)

Oleh Mohd Tarmizi Hasrah

       Tidak dinafikan yang kedua-dua kesendengan ada kritikannya. Kesendengan yang pertama dikritik hebat, misalnya oleh Jacques Derrida. Kedua-dua tahap awal, pada Derrida, terlalu bersifat fonosentrik dan logosentrik (pada mulanya ialah Logos, kata). Dengan fonosentrik dan logosentrik, hanya ada sebuah pusat kebenaran, yakni subjek atau aku yang berbahasa. Ketika subjek berbahasa, kehadirannya dimanifestasikan melalui bunyi-bunyi yang keluar daripada alat ujarannya. Ketika ujaran yang berupa bunyi-bunyi dihasilkan, ujaran tersebut turut disertai oleh rangsangan lain seperti mimik muka, nada suara, gerak badan dan lirikan mata. Gabungan bunyi ujaran dengan rangsangan luaran menandakan sebuah keadaan mutlak yang turut meletakkan subjek, waktu, ruang, suara, makna atau kebenaran dalam suatu kesatuan.

      Dalam keadaan tersebut, suara subjek menjadi penanda makna dan gagasan yang merupakan manisfestasi langsung antara fikiran dengan fizikal, badan dengan jiwa, empirik dengan transenden. Disebabkan sifat fonosentrik dan logosentrik yang ada pada kedua-dua tahap bahasa yang awal membuatkan Derrida beranjak setapak lalu berhenti pada bahasa tulisan, bahasa tahap ketiga. Menurutnya, bahasa tulisan bebas daripada sifat fonosentrik dan logosentrik, yakni tidak ada satu pusat kebenaran, semua berhujung pada pentafsiran. Jesteru kebenaran ialah tafsiran.

       Manusia, walaupun berupa entiti yang tidak terpisah dengan bahasa, adakalanya tersesat dalam bahasa lisan, dan lebih-lebih lagi bahasa tulisan iaitu tersesat dalam aksara. Kita seringkali meminta orang yang berkata-kata sesuatu kepada kita agar mengulangi semula kata-katanya. Pengulangan tiada tujuan lain, melainkan menginginkan ketepatan dalam memahami makna yang cuba disampaikannya.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November

Leave a Reply