Glosari Dialek Memperkayakan Khazanah Warisan Bangsa

Oleh Junawati Ab Hamid

Judul                   : Siri Glosari Dialek Melayu Semenanjung: Glosari Dialek Pulau Pinang

Penyelidik          : Abdul Jalil Anuar, Mohaini Saffar, Anuar Ahmad, Ahmad Salleh, Ahmad Zaki Md Taha, Ariffin Abdul Rahman dan Mohd Rosli Ismail

Penerbit             : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbitan  : 2015

Harga                 : RM 25.00

     Dialek atau nama lainnya loghat atau bahasa daerah merupakan kelainan dalam sesuatu bahasa yang menjadi ciri golongan tertentu dalam kalangan penutur sesuatu bahasa. Di Semenanjung Malaysia, terdapat pelbagai dialek yang dinamakan mengikut negeri.

      Walaupun penamaan dialek tersebut tidak mengikut amalan linguistik umum, namun, penamaan tersebut adalah untuk memudahkan semua pihak. Kini, terdapat pelbagai dialek yang dikenali umum, seperti dialek Kelantan, dialek Terengganu, dialek Pahang, dialek Johor, dialek Melaka, dialek Negeri Sembilan, dialek Perak, dialek Kedah dan dialek Pulau Pinang. Setiap dialek
mempunyai ciri sistem bunyi (fonologi) dan perbendaharaan kata (leksikal) yang tersendiri. Kewujudan dialek ini memperkaya perbendaharaan kata bahasa Melayu dan menambah khazanah persuratan Melayu.

     Dialek yang pelbagai tersebut merupakan khazanah bahasa Melayu yang amat bernilai dan perlu dipelihara. Petanda pelupusan dialek ini dapat dilihat dengan berkurangnya penggunaan dialek dalam kalangan masyarakat, terutamanya dalam kalangan golongan muda. Penghasilan buku Glosari Dialek Pulau Pinang merupakan usaha yang dilakukan untuk mengumpul dan mendokumentasikan kosa kata dialek yang terdapat di Semenanjung Malaysia supaya dapat dijadikan rujukan oleh pengguna bahasa Melayu, khususnya pengkaji bahasa dan budaya Melayu.

Ulasan ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November

Leave a Reply