Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Penerbitan dan Penterjemahan

Oleh Datuk Dr. Awang Sariyan

      Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai perintis dalam dunia penerbitan buku di Malaysia bertolak daripada penggubalan Akta DBP 1959 (Pindaan 1978) yang memperuntukkan mandata kepada DBP untuk “mencetak atau menerbitkan atau membantu usaha percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk persuratan lain dalam bahasa kebangsaan dan bahasabahasa lain”. Buku terjemahan yang pertama, Anak Raja dengan Anak Papa (1958, terjemahan Za’ba), selain penerbitan majalah sulung, Dewan Bahasa (1957), yang diterbitkan ketika DBP masih beroperasi di Jalan Young, Kuala Lumpur, menjadi asas yang signifikan untuk DBP melunaskan amanah yang dipertanggungjawabkan, sekali gus menyediakan rintisan untuk mencorakkan dunia penerbitan di Malaysia bagi membangunkan tamadun bangsa.

     Kerajaan Malaysia amat menyokong perkembangan industri buku dan undangundang yang berkaitan dengan penerbitan bahan bercetak yang sedia ada di negara ini. Dasar kerajaan Malaysia, khususnya yang berkaitan dengan prinsip dan pendekatan Samudera Biru yang menggalakkan perkembangan kreativiti dan inovasi dalam kalangan masyarakat, secara tidak langsung dapat memantapkan industri penerbitan buku di Malaysia.

       Malaysia sentiasa berusaha menobatkan industri penerbitan buku dengan kesedaran bahawa industri buku perlu diberikan perhatian yang utama memandangkan peranannya sebagai asas perkembangan dalam bidang literasi dan pendidikan, yakni bidang yang mampu mengangkat pemerkasaan dan pengupayaan ilmu pengetahuan sesebuah masyarakat. Pada masa yang sama, industri buku amat signifikan kepada kemajuan dan pertumbuhan negara, seiring dengan dasar kerajaan Malaysia untuk mentransformasikan Malaysia secara komprehensif menerusi Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November

Leave a Reply