Bahasa Utama dan Bahasa Kedua

Oleh Hannah Zulkifli

      Ketika kempen awal Parti Republikan untuk memilih bakal calon parti itu untuk pilihan raya presiden Amerika Syarikat tahun 2016, kaum imigran atau pendatang imigran turut mendapat perhatian, iaitu apakah bahasa yang sepatutnya digunakan oleh mereka.

     Dalam kalangan calon yang bertanding, tercetus kontroversi apabila Donald Trump mengkritik Jeb Bush kerana bertutur dalam bahasa Sepanyol semasa berkempen. Bagi Trump, Bush sepatutnya menunjukkan contoh dengan bertutur dalam bahasa Inggeris ketika di Amerika Syarikat. Trump dikatakan memberikan respons terhadap komen yang dilemparkan oleh Bush pada awal September, menggasak Trump dalam bahasa Sepanyol. Bekas Gabenor Florida itu, ketika wawancara dengan Good Morning America, mempertahankan penggunaan bahasa Sepanyol, mengatakan kritikan Trump terhadap beliau itu “kelakar” yang membuatkan beliau ketawa.

     Jef Bush dilaporkan menggunakan bahasa Sepanyol ketika beliau muncul di sekolah dwibahasa di Miami, selepas para pelajar dan pemberita bertanyakan soalan dalam bahasa Sepanyol. Beliau menjelaskan kanak-kanak comel itu semuanya bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi mereka juga bertutur dalam bahasa Sepanyol dan seorang daripada mereka mengemukakan soalan dalam bahasa Sepanyol dan beliau menjawabnya dalam bahasa itu. “Itulah realiti Amerika, itulah kebaikan Amerika. Itulah jenis Amerika yang kita mahu,” kata Bush, merujuk legasi pelbagai budaya Amerika Syarikat. Beliau menunjukkan bahawa Trump ialah hipokrit dalam kritikannya, kerana hartawan itu pernah mendapat kontrak dengan rangkaian Univision bahasa Sepanyol.
“Adakah kita akan menutup semula kelas bahasa asing?” tanya Bush. Beliau jelas menolak pandangan Trump bahawa orang ramai sepatutnya hanya bertutur dalam bahasa Inggeris di Amerika Syarikat. “Kita negara yang bertutur dalam bahasa Inggeris.”

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November

Leave a Reply