Kita Dan Bahasa (Bahagian Kedua)

Darihal Bahasa

OLEH: MOHD TARMIZI HASRAH

Berfikir tanpa bahasa

Namun begitu, perlu dilihat pula kes yang lain. Jikalau dikatakan manusia berfikir dengan bahasa yang melibatkan pembentukan huruf-huruf dalam akal budi bagi mewakili konsep-konsep, maka bagaimanakah pula dengan manusia autisme? Bagaimanakah manusia seperti ini berfikir? Pertanyaan ini mengingatkan penulis kepada watak utama dalam filem Biola Tak Berdawai, iaitu Dewa.

           Dewa ialah seorang kanak-kanak autisme yang beruntung hidup. Dirinya memperlihatkan kemahuan kuat untuk mengerti denai hidup. Keupayaan Dewa, walaupun sekadar watak ciptaan pengarang dan pengarahnya, walaupun sekadar hidup dalam deretan kata sebuah novel dan dalam ruang visual, menyebabkan kenyataan manusia berfikir dengan bahasa, mulai tercabar. Dengan Dewa, dan bayi-bayi lainnya, kita berupaya memperbaharu kenyataan di atas. Manusia tidak semutlaknya berfikir dengan bahasa. Manusia juga berupaya berfikir tanpa bahasa.

           Akan tetapi, benarkah berfikir tanpa bahasa hanya sebatas bayi? Bayi memang berfikir tanpa bahasa disebabkan tahap penguasaan bahasanya masih sifar. Bagaimana pula halnya dengan orang dewasa yang sudah pun menguasai bahasa? Apakah mereka juga dapat berfikir tanpa bahasa berlambang? Untuk menelusuri persoalan ini, perlu berpangkal pada tabii bahasa.

          Bahasa, memang fungsi asasinya untuk menzahirkan pemikiran penuturnya. Dalam melaksanakan fungsi asasi ini, bahasa ada batasannya, iaitu ketidakupayaannya bagi menzahirkan pemikiran sepersis yang terdapat dalam akal budi. Mudahnya, fikir tidak serupa cakap; yang maujud sebagai A diungkapkan dengan A2; rasa manis, rasa nescafe tarik; rasa nyaman ditiup bayu laut yang mengerbangkan rambut ikal mayang; rasa merdu alunan suara dan irama lagu Mustika, oleh M. Nasir, atau Nyanyian Serambi, oleh Ramli Sarip, tidak dapat diungkapkan dengan bahasa sepersis rasa sebenar yang dialami oleh orang yang mengalaminya. Jikalaupun diungkap, diceritakan kepada orang lain, tetap juga tidak menepati seperti yang dialami. Sekali lagi Steiner ada membawakan isu ini dengan panjang lebar. Barangkali, elok juga mendalami pendapatnya.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks

Hantar Maklum Balas