Lambang Pembentukan Malaysia

Dunia Bahasa

OLEH: ZULKIFLI SALLEH

Pada 17 September 1963, Yang di-Pertuan Agong menerangkan tujuh lambang yang berkaitan dengan pembentukan Malaysia, iaitu sewaktu baginda bertitah dalam Perhimpunan Hari Kanak-kanak. Baginda menyeru agar seluruh kanak-kanak menyatakan sekali lagi keyakinan dan kesetiaan mereka kepada negara Malaysia yang baharu.

            Baginda, seperti yang dicatatkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra dalam bukunya, Pandang Balik, menerangkan lambang tersebut, iaitu bangunan Parlimen tersergam sebagai lambang keyakinan kita terhadap sistem demokrasi berparlimen berdasarkan pemilihan oleh rakyat; Masjid Negara sebagai lambang kebebasan beragama kerana rakyat daripada semua kaum dan agama turut memberikan sumbangan bagi pembinaannya, di samping wang yang diberikan oleh kerajaan; maktab-maktab, universiti dan institusi ilmu pelajaran lain melambangkan keyakinan kita terhadap pendidikan dan penerangan bagi rakyat; Stadium Merdeka dan Stadium Negara melambangkan kepercayaan akan pepatah tentang otak yang cergas terdapat pada tubuh yang sihat dan bagi menggalakkan persahabatan melalui sukan; Tugu Negara, mengarah ke Taman Bunga, melambangkan semangat untuk berkorban bagi mempertahankan negara kita; Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi lambang tentang warisan yang kaya dan kedudukan istimewa bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa rasmi Malaysia; dan Muzium Negara bertindak sebagai pusat tumpuan bagi perkembangan kebudayaan kebangsaan. (Huruf condong oleh Tunku sendiri.)

           Apabila mantan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra menyebut tujuh lambang tersebut dalam “Bab Enam Belas: Kekacauan dari Singapura,” sedikit banyak menimbul persoalan tentang pentingnya atau signifikannya semua lambang itu dalam mengharungi pergolakan dengan Singapura yang menyertai Malaysia antara tahun 1963 hingga 1965. Selama tempoh negara kota dalam Malaysia bersama-sama Sabah dan Sarawak, Perdana Menteri Lee Kuan Yew boleh diibaratkan “duri dalam daging” yang boleh menggugat kestabilan dan keharmonian; tambahan pula, Indonesia melancarkan konfrontasi dan Filipina mengemukakan tuntutan terhadap Sabah. Tindak-tanduk Lee itu mengeruhkan dan meruncingkan lagi suasana kerana beliau mula menentang hak-hak orang Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks

Hantar Maklum Balas