Sinergi Tonggak Pemartabatan Bahasa Melayu

Agenda Bahasa, Fokus

OLEH: AZIZUL HAJI ISMAIL / VIJAYALETCHUMY A/P SUBRAMANIAM

Sejarah membuktikan negara dan bangsa di dunia ini memerlukan kerjasama dengan melaksanakan dasar bersahabat demi meneruskan kelangsungan ketamadunan negara dan bangsa tersebut. Hal ini telah berlaku terhadap bangsa-bangsa besar di dunia seperti China, Jepun, Burma dan Thailand (Siam), sebelum abad ke-19 yang telah melaksanakan dasar isolasi bagi memelihara keagungan dan kesucian negara dan bangsa mereka. Isolasi membawa maksud memencilkan diri (negara) dengan tidak membenarkan hubungan dengan kuasa asing, khususnya negara-negara Barat bagi memastikan kedaulatan negara dan kekayaan ekonomi negara mereka tidak terjejas disebabkan kerakusan kuasa-kuasa tersebut untuk menjarah hasil bumi negara tersebut. Namun, negara-negara tersebut akhirnya mengamalkan dasar pintu terbuka kepada pihak luar, sama ada secara sukarela, seperti negara Thailand oleh Raja Mongkut, ataupun secara paksa seperti yang berlaku terhadap negara China akibat daripada konspirasi Perang Candu Pertama (1839-1842) dan Perang Candu Kedua (1856-1860) oleh kuasa-kuasa Barat. Negara-negara tersebut mahu tidak mahu telah membuka pintu negara mereka bagi meneruskan kelangsungan dan kemerdekaan bangsa dan negara tersebut agar tidak terus diratah oleh kuasa-kuasa besar pada masa itu yang mengamalkan dasar siapa kuat dialah raja.

         Sejarah ini telah membawa pengajaran dan sewajarnya menjadi panduan yang amat bermakna terhadap usaha pemartabatan bahasa Melayu, sama ada pada peringkat kebangsaan, ataupun peringkat antarabangsa. Usaha tersebut tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian dan terpencil untuk dilaksanakan oleh badan kerajaan, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan perancangan bahasa dalam negara. Malahan, tugas dan usaha tersebut juga tidak wajar diserahkan secara eksklusif kepada tokoh-tokoh bahasa untuk melaksanakan tugas dan amanah tersebut. Sewajarnya tugasan tersebut perlu dilaksanakan secara sinergi ataupun melalui kerjasama pintar dengan pelbagai pihak. Hal ini juga ditegaskan oleh Allah, supaya manusia sentiasa bekerjasama dan tolong-menolong sesama manusia dalam hal yang berkaitan kebaikan dan kebajikan seperti yang terkandung dalam Surah al- Ma’idah ayat kedua. Oleh hal yang demikian, sinergi melalui kerjasama bahasa pada peringkat antarabangsa, kerjasama bahasa dengan badan kerajaan, pihak swasta, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perlu diteruskan dan dimantapkan demi pemerkasaan dan pemartabatan bahasa Melayu di dalam dan di luar negara. Selain itu, DBP juga perlu lebih bernafsu untuk mencari kerabat kerja di dalam dan luar negara bagi memacu kelangsungan dan pemerkasaan bahasa Melayu pada masa kini.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks

Hantar Maklum Balas