Bahasa Melayu Selepas 58 Tahun Merdeka

Agenda Bahasa, Fokus

OLEH: AMINUDIN MANSOR

Penggunaan bahasa yang baik, betul dan tepat mencerminkan bangsa yang melahirkan bahasa tersebut. Justeru, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dipertuturkan oleh rakyat yang pelbagai kaum ini sebenarnya mencerminkan identiti bangsa Malaysia yang mahu dilahirkan oleh negara kita. Konsep “di sini lahirnya sebuah cinta”, sepatutnya juga meliputi kecintaan bahasa iaitu bahasa Melayu. Tanpa rasa cinta dan sayang akan bahasa, setelah negara mencapai kemerdekaan 58 tahun, sesuatu bangsa itu tidak akan maju. Sejarah dan perkembangan bahasa Melayu sebelum dan sesudah merdeka amat panjang. Kini bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan yang berkesan.

          Jejak sejarah bahasa Melayu bermula dengan aspek-aspek asal usul bahasa Melayu, iaitu bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik, bahasa Melayu moden dan unsur-unsur asing dalam bahasa Melayu hinggalah perkembangannya sampai hari ini. Sejarah membuktikan bahawa sebelum dan selepas merdeka, semua aspek ini dihuraikan dan terdapat bahan bukti kukuh, tokoh, dan institusi yang terlibat dalam memberikan sumbangan besar terhadap perkembangan bahasa Melayu.

        Sejarah membuktikan bahawa, selepas tahun 1970, bahasa Melayu dimantapkan penggunaannya terutama di sekolah rendah dan menengah. Mulai tahun 1983 pula, semua kursus tahun pertama peringkat universiti turut diajar dalam bahasa kebangsaan berbanding penggunaan bahasa Inggeris sebelum ini. Pada masa kini bahasa Melayu digunakan sepenuhnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sepatutnya menjadi ikutan universiti awam dan swasta yang lain.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks

Hantar Maklum Balas