Tiga Zaman, Satu Prinsip

OLEH: MOHD RAZAN

Buku Sastera, Politik dan Masyarakat menghimpunkan esei nukilan Abdul Rahman Embong sekitar tahun 1960-an, 1990-an, dan 2000 yang pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui penerbitan majalahnya, iaitu Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, dan Dewan Sastera. Bertepatan dengan judulnya yang bersifat umum esei-esei yang termuat dalam buku ini memiliki tema yang pelbagai dan hampir setiap kali, tema-tema yang disentuh itu tidak terlepas daripada berkaitan antara satu dengan yang lainnya. Antara tema utama yang dapat dikesan termasuklah persoalan sosiobudaya, politik, sosioekonomi, falsafah, dan kesusasteraan. Sungguhpun tema-tema ini tidak diikat dalam sebuah perbahasan panjang yang lebih komprehensif, namun, pancaran idea yang dapat ditemukan dalam kesemua esei tersebut membentuk suatu keharmonian sepanjang pembacaan.

            Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian utama. Bahagian pertama lebih tertumpu kepada persoalan yang bersifat tempatan, iaitu sekitar dinamika kesusasteraan, suasana dan masalah masyarakat sekitar tahun tersebut, dan cita-cita pembentukan bangsa. Kebanyakan esei dalam bahagian ini ditulis ketika penulis bergelar mahasiswa sekitar pertengahan 1960-an. Sesuai dengan umurnya pada ketika itu, gaya penulisan diterjemahkan dalam esei-esei era 1960-an ini bersifat lebih lantang dan bersemangat. Misalnya dalam esei “Hubungan Gejala Masyarakat dengan Ciptaan dan Perkembangan Sastera” yang pernah diterbitkan pada April 1967, penulis sedikit sebanyak membahaskan dinamika kesusasteraan dan sifatnya melalui sudut pandang dialektik. Dalam hal ini, seseorang pengkarya dilihat sebagai individu yang turut serta dalam pergolakan masyarakat serta memahami keadaan masyarakat di sekelilingnya. Penulis menganggap karya sebagai “pencerminan masyarakat zamannya; satu kelahiran masalah-masalah manusia, penderitaan, persoalan peribadi yang rumit, harapan dan cita-cita.” Ringkasnya, melalui kaca mata penulis, seorang pengkarya mempunyai tanggungjawab untuk mengungkapkan permasalahan masyarakat melalui karya-karya yang disandarkan kepada keghairahan terhadap kesenian itu sendiri.

Leave a Reply