Perkukuh Perpaduan Melalui Bahasa Melayu

OLEH: DATUK HAJI ABANG ABDUL WAHAP HAJI ABANG JULAI

DB: Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan melalui Perkara 152 bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan Malaysia dalam segala urusan rasmi. Namun, bagi Sarawak yang mencapai kemerdekaan dalam Malaysia pada tahun 1963, pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu diberikan kelonggaran, iaitu selepas 10 tahun dari tarikh kemerdekaan. Pada pandangan Datuk, sejauh manakah bahasa Melayu diterima dalam konteks penggunaannya dalam urusan rasmi selepas genap tempoh berkenaan.

 Secara peribadi saya berpandangan bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam pertuturan dan persuratan memang semakin meluas. Sebelum ini saya bertugas dalam bidang kepolisan dan saya melihat bahawa sekarang semakin banyak dokumen dan peraturan menggunakan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu semakin meluas di pejabat-pejabat kerajaan. Dalam konteks penggunaannya di sektor swasta, perkara ini masih belum terlaksana sepenuhnya. Dalam konteks Dewan Bandaraya Kuching Utara, sejak dilantik sebagai Datuk Bandar, saya melihat bahawa penggunaan bahasa Melayu semakin digiatkan. Dewan Bahasa sendiri membuat pengauditan dokumen-dokumen rasmi kita. Kalau dulu boleh dikatakan 70 hingga 80 peratus dokumen rasmi kami menggunakan bahasa Inggeris, kini, keadaan itu sebaliknya iaitu 80 peratus dalam bahasa Melayu, kecuali bagi surat-surat daripada pihak luar yang masih lagi menggunakan bahasa Inggeris. Namun demikian, bilangannya semakin berkurangan. Memang tidak dinafikan bahawa tidak semua perkataan dapat ditakrifkan secara tepat dalam bahasa Melayu.

Berhubung peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, itu merupakan salah satu syarat yang ditetapkan semasa penubuhan Persekutuan Malaysia. Dalam hal ini, memanglah kalau dibandingkan dengan Semenanjung, kita masih ketinggalan dalam hal ini.

 

DB: Secara umumnya dimaklumi bahawa Sarawak merupakan sebuah negeri yang amat luas kawasannya dengan penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum. Apakah faktor ini merupakan hambatan dalam pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor perkhidmatan awam?

 Dari segi keluasan, memang tidak dinafikan bahawa Sarawak ini amat luas. Namun, dari segi perhubungan, keadaannya adalah lebih baik berbanding dahulu. Dahulu, saya pernah ditempatkan di Kapit sebagai Inspektor Percubaan dan ketika itu kita menggunakan kapal untuk ke sana. Berbanding sekarang, penggunaan bot ekspress menyingkatkan masa perjalanan menjadi dua hingga tiga jam sahaja. Hal ini dipermudahkan lagi dengan adanya perkhidmatan telefon dan internet. Kata orang, dunia sekarang ini merupakan dunia tanpa sempadan. Di samping itu, kemudahan pendidikan sudah melebar ke bahagian-bahagian pedalaman.

Oleh hal yang demikian, pihak-pihak tertentu perlu mengambil inisiatif dalam hal ini. Saya mengambil contoh penggunaan bahasa Melayu di Bario oleh golongan penyebar agama. Hal inilah yang membawa kepada timbulnya isu penggunaan istilah “Allah’’ yang bagi masyarakat di Sarawak merupakan perkara biasa. Memang tidak dapat dinafikan bahawa faktor keluasan kawasan ini menyebabkan kesukaran dalam usaha memasyarakatkan penggunaan bahasa Melayu. Apa pun, usaha untuk menggiatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat umum semakin dirasai.

Leave a Reply