Permata Bahasa Dalam Jenama

OLEH: Prof. Madya Dr. Ghazali Bin Daimin

DB: Jati diri dan martabat sebuah negara bergantung kepada bahasanya, tidak terkecuali Malaysia. Realitinya, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara nampaknya dipandang remeh oleh sesetengah pihak. Tambahan pula penggunaan bahasa Melayu kini semakin menguncup dalam kalangan rakyat Malaysia. Sebagai seorang ahli akademik yang pernah menerbitkan pelbagai tulisan dan buku ilmiah dalam bahasa Melayu, bagaimanakah tanggapan Dr. terhadap perkara ini?

Permasalahan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat bukanlah is u baru, malah perkara tersebut sudah lama berlaku. Suasana ini berlaku sama ada melalui pertuturan atau penulisan. Bahasa jiwa bangsa bermaksud sesuatu bahasa itu menjadi milik mutlak sesuatu bangsa selain menjadi identiti kebangsaan mereka. Mereka menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi dan berperanan sebagai alat perpaduan. Dalam isu penggunaan bahasa Melayu yang semakin menguncup dalam kalangan rakyat Malaysia, secara peribadi saya merasakan fenomena tersebut sememangnya kian serius. Contohnya, bagi golongan remaja, kewujudan peralatan komunikasi “gadget” (alatan) yang sememangnya menggunakan bahasa Inggeris telah mempengaruhi golongan tersebut sama ada daripada segi pertuturan atau penulisan.

Secara khususnya, kesalahan ini dapat dikategori kepada tiga, iaitu kesalahan ejaan, kesalahan tatabahasa dan mengutamakan bahasa asing serta mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa asing. Contohnya, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) banyak menyumbang kepada kesalahan ejaan, perkataan singkatan dan penggunaan simbol semasa perbualan dalam kalangan masyarakat. Perkataan kenapa diringkaskan menjadi “nape”, macam mana diringkaskan menjadi “camne” serta perkataan tidak sekadar ditulis “X”. Selain itu, perkataan campuran antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris seperti terima kasih cuma ditulis “TQ”. Kesemua perkataan yang dinyatakan tersebut telah menjadi gaya baru dalam perbualan, khususnya dalam kalangan golongan remaja. Selain itu, di pusat pengajian tinggi awam atau swasta, terdapat juga kurikulum akademik yang mewajibkan pensyarah dan pelajar bertutur dalam bahasa Inggeris. Fenomena tersebut menjadi lebih parah apabila terdapat pelajar, malah pensyarah yang kurang mahir berbahasa Inggeris, maka mereka akan mencampuradukkan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu di dalam kelas.

 

 DB: Dr. telah lama terlibat dalam dunia akademik dan turut sama menyumbang baik secara teori mahupun praktikal mengenai penjenamaan. Boleh Dr. terangkan secara ringkas sejarah penjenamaan negara kita?

Sejarah penjenamaan di sesebuah negara sebenarnya amat berkait rapat dengan industri periklanan. Industri periklanan bermula apabila wujudnya revolusi perindustrian yang menghasilkan banyak barangan oleh pengusaha untuk dipasarkan. Sememangnya di negara-negara baratlah bermulanya jenama, penjenamaan atau penjenamaan semula kerana mereka memerlukan nama, identiti produk atau barangan mereka dikenali dalam pasaran. Sebagai contoh, pada era 60-an, “Nike” muncul sebagai satu jenama kasut sukan larian dan jenama tersebut telah berjaya mendapat tempat di serata dunia sehingga ke hari ini. Namun begitu, di Malaysia, sejarah penjenamaan sebenarnya masih baru jika dibandingkan dengan negara-negara Eropah.

Leave a Reply