Bahasa dan Pandangan Dunia

Oleh: Zulkifli Salleh

“Setiap bahasa mengandungi unsur tanggapan dunia,” kata Antonio Gramsci, intelektual Itali yang memperkenalkan istilah hegemoni. Beliau menambah, “jika benar bahawa setiap bahasa mengandungi unsur tanggapan dunia dan budaya, benarlah bahawa daripada bahasa seseorang, kita dapat menilai tahap kompleksiti tanggapan individu berkenaan tentang dunia.” Dalam pada itu, Gramsci mengingatkan bahawa “meskipun tidak mudah untuk mempelajari beberapa bahasa asing bagi membolehkan seseorang itu menjalin hubungan dengan budaya lain, sekurang-kurangnya wujud keperluan untuk mempelajari bahasa kebangsaan dengan betul.” (The Antonio Gramsci Reader: Selected Writings 1916 – 1935, diedit oleh David Forgacs.).

Para penutur dwibahasa dikatakan memiliki banyak kelebihan, iaitu prospek pekerjaan yang lebih baik, rangsangan kognitif, bahkan melindungi mereka daripada demensia. Kajian terbaharu menunjukkan bahawa manusia melihat dunia dalam perspektif berbeza bergantung pada bahasa pertuturan mereka. Panos Athanasopoulos yang menulis dalam The Independent pada akhir April, menyatakan bahawa 15 tahun lalu menyaksikan sejumlah besar penyelidikan tentang minda penutur dwibahasa, dengan majoriti bukti menunjukkan kelebihan ketara bagi mereka yang menggunakan lebih daripada satu bahasa. Penggunaan bahasa secara silih berganti umpama latihan otak yang mendorongnya menjadi fleksibel.

Dalam makalah “How the Language You Speak Changes Your View of the World,” Athanasopoulos menegaskan bahawa sebagaimana senaman mendatangkan faedah biologi, keupayaan menguasai dua atau lebih bahasa mendatangkan faedah kognitif kepada otak. Keluwesan mental ini memberikan faedah besar, terutamanya pada penghujung kehidupan. Dalam kalangan penutur dwibahasa tanda tipikal penuaan dan gejala penyakit seperti demensia atau Alzheimer berlaku lewat .

Leave a Reply