Kaedah Mudah Mempromosikan Khidmat Penterjemahan

Oleh : Anis Shahirah Abdul Sukur

Peluang untuk menterjemah sebenarnya terbuka luas dan tidak terhad pada kerja di syarikat penerbitan sahaja. Lihat di sekeliling anda atau layari laman sesawang di internet. Anda akan mendapati hampir kesemua produk dan perkhidmatan yang menggunakan bahasa sebagai medium perantara berpotensi untuk diterjemahkan, antaranya termasuklah iklan, buku, katalog, berita akhbar, dokumen syarikat, sijil, laman sesawang, dan brosur bank.

Beberapa contoh yang dinyatakan ini memberikan maklumat bahawa khidmat penterjemah sememangnya diperlukan di serata dunia. Namun begitu, khidmat ini perlu dipromosikan agar khalayak awam mengetahuinya. Dalam konteks ini, penterjemah dikehendaki menguasai kemahiran untuk mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkannya.

Sebenarnya usaha mempromosikan khidmat penterjemahan sama sahaja seperti mempromosikan sesuatu jenama. Langkah pertama, penterjemah perlu mengenal pasti kelebihan yang hendak dihebahkan bagi menarik perhatian bakal pengguna perkhidmatan atau klien. Kelebihan seperti memiliki sijil menterjemah dan pengalaman menterjemah teks dalam bidang tertentu misalnya, dapat meningkatkan kebolehpercayaan terhadap kelayakan dan kredibiliti seseorang penterjemah.

Leave a Reply