Tenggelam Dalam Kebanjiran

Oleh : Zulkifli Salleh

Seandainya tidak berlaku banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands, pembunuhan dan penangkapan yang melibatkan warga Myanmar dalam jumlah yang besar di Pulau Pinang, dan penggodaman mesin teler automatik (ATM), nescaya kehadiran pendatang, baik yang sah, mahupun pendatang tanpa izin (PATI) di Malaysia tidak dipedulikan. Mereka bebas bergerak, berkeliaran ke sana ke mari, dan muncul di mana-mana sahaja, dalam pengangkutan awam, di kawasan perumahan, di pusat beli-belah, di kota, di desa, di jalanan, di pasar malam, di pasar borong, di hutan, di lembah, di bukit, dengan berbagai-bagai tujuan dan pelbagai pekerjaan, ada yang sah, dan tidak kurang juga ada yang menyalahi undang-undang. Sementara itu, Sabah pula terpaksa menghadapi masalah orang tidak bernegara sejak berdekad-dekad, dan mereka dikaitkan dengan kewujudan penyakit sosial, keadaan tidak selamat, dan jenayah di negeri itu.

            Bagi sesiapa yang bersiar-siar di ibu negara Kuala Lumpur, pasti dapat mengesan kehadiran pendatang, bukan sahaja dari segi batang tubuh mereka, tetapi juga dari segi papan iklan dan gegantung yang terletak di kaki lima. Seperti yang dapat dilihat di sekitar Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang yang bahasa Inggeris lebih kelihatan, tetapi kini bahasa Arab dan “simbol” Timur Tengah tidak ketinggalan. Meskipun kewujudan restoran Timur Tengah itu lebih bertujuan menampung keperluan pelancong dari rantau itu dan penduduk tempatan yang ingin menjamu selera, dan pastinya, tidak ada kena mengena dengan kebanjiran pendatang asing, sebenarnya, situasi ini turut menambahkan lagi kecelaruan jati diri atau identiti nasional.

Leave a Reply