Meraikan Perbezaan dalam Pengajaran

Oleh : Zulkifley Hamid

 Program pendidikan bahasa Melayu yang cemerlang ialah program yang dirancang secara menyeluruh, iaitu komponen-komponen pengetahuan bahasa diajar secara utuh. Dengan kata lain, program pendidikan bahasa Melayu yang berkesan akan merangkumi keseluruhan aspek pengetahuan bahasa Melayu, iaitu kosa kata, sistem nahu, peraturan budaya, sistem nilai dan pelbagai kekangan sosial semasa berbahasa Melayu. Seseorang pengguna bahasa yang tidak memahami budaya berbahasa atau kekangan sosial semasa berbahasa berkemungkinan besar akan menghasilkan output bahasa yang kurang wajar atau tidak bersesuaian dengan keperihalan keadaan atau tuntutan sesuatu wacana komunikasi. Dengan kata lain, konsep “tahu bahasa” atau kefasihan  tidak hanya terbatas kepada konsep kenahuan dan perbendaharaan kata, tetapi juga kebolehan untuk memilih unsur-unsur kebahasaan yang bersesuaian dengan keperihalan keadaan penggunaan.

               Noam Chomsky menggunakan frasa “kecekapan linguistik” dan “kecekapan pragmatik” untuk mengkonsepsikan dua kategori pengetahuan bahasa ini (Chomsky dlm. Botha, 1989). Kecekapan linguistik merujuk pengetahuan tentang nahu sesuatu bahasa, iaitu peraturan atau tatacara menyusun pelbagai unsur dalam sesuatu bahasa agar bersesuaian dengan kaedah penyusunan secara sintagmatik atau secara mendatar. Kecekapan pragmatik atau kecekapan berbahasa pula merujuk pemahaman para pengguna bahasa tentang pelbagai kekangan sosial atau budaya yang wujud dalam pelbagai wacana atau keperihalan keadaan. Kecekapan ini melibatkan kebolehan untuk memilih unsur-unsur yang bersesuaian dengan suasana dan tujuan penggunaan bahasa pada ketika yang tertentu.

Leave a Reply