UKM TEMBOK PENGHAKIS IMPERIALISME BAHASA

Oleh : Mohd Yusof HJ. Othman

Apabila kita menyebut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pemelihara amanah negara, persoalannya apakah yang ingin dipelihara? Apakah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh pihak yang mencetuskan gagasan idea penubuhan UKM kepada kita? Apakah harapan dan hasrat petani di kampung, penarik beca sehingga kepada pegawai kerajaan, individu, persatuan pelajar, persatuan guru, dan juga syarikat yang sanggup menghulurkan dana untuk penubuhan universiti ini? Biarpun jumlah dananya tidaklah mencapai RM1 juta, tetapi cukup besar maknanya pada waktu itu.

Saya bukanlah seorang daripada mereka yang mengagaskan penubuhan UKM, tetapi pelajar seangkatan dengan saya merupakan golongan pelajar awal hasil gagasan pendidikan yang dihasratkan oleh UKM. Falsafah pendidikan UKM istimewa, isi pendidikannya istimewa, dan sistemnya juga istimewa. Pada awal penubuhannya, sistem pendidikan di UKM berbeza daripada sistem universiti yang ada pada waktu itu, sama ada universiti dalam negara, mahupun luar negara. Universiti lain menggunakan bahasa Inggeris, sedangkan UKM menggunakan bahasa Melayu. Universiti lain menggunakan sistem penggal, manakala UKM menggunakan sistem suku tahun. Program di universiti lain berbentuk khusus menjurus kepada sesuatu bidang, sebaliknya UKM pula menyediakan program berbentuk multidisiplin.

Leave a Reply