MEMBENTENGI WILAYAH DARIPADA BAHASA PENJAJAH

Oleh : Zulkifli Salleh

 Selain China, Quebec, dan Perancis, Rusia juga cuba mengambil langkah yang sama untuk mencegah pencerobohan bahasa asing.  Hasilnya wujudlah rang undang-undang terbaru dari parlimen negara itu, Duma, yang bertujuan menyekat penggunaan yang tidak perlu. Penceroboh bahasa akan dikenakan denda yang berat. Pada tahun lalu,  wujud cadangan ahli politik supaya dibersihkan bahasa Rusia daripada kata pinjaman yang tidak perlu. Walau bagaimanapun, cadangan kali ini kelihatan serius. Rang undang-undang itu telah mendapat sokongan jawatankuasa budaya Duma yang diketuai oleh Vladimir Bortko, anggota Parti Komunis dan pengarah filem terkenal.  Walaupun masih jauh untuk dijadikan undang-undang, bahkan jika diluluskan pun, belum pasti akan dikuatkuasakan, menurut laporan Interfax, ketetapan itu melibatkan sekurang-kurangnya 31 perkataan asing, seperti shtraf (denda), deputat (timbalan), dan kodeks (kod).

            Alexey Kovalex walau bagaimanapun mengkritik langkah itu dalam The Guardian pada pertengahan Jun 2014, dengan alasan tidak realistik kerana perlu mengambil masa beberapa tahun dan melibatkan berbilion ruble wang pembayar cukai. Walau bagaimanapun, beliau menyatakan, bukan Rusia sahaja yang terpaksa bersusah payah untuk memelihara ketulenan leksikal dengan mengemukakan beberapa contoh seperti Iceland yang entri tesaurusnya tidak banyak berubah sejak abad ke-12, dan pemimpin boneka rejim Nazi Crotia yang pernah cuba bukan sahaja membersihkan dirinya daripada unsur “yang tidak diingini”, seperti orang Serb, Yahudi, dan Roma, tetapi juga bahasanya daripada perkataan “asing”.

Leave a Reply