IMPERIALISME BAHASA MENGANCAM DUNIA

Oleh : Azizul Haji Ismail

Bahasa merupakan antara anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya sebagai alat komunikasi dalam kehidupan manusia. Bukan itu sahaja, malahan Tuhan juga menganugerahkan bahasa tertentu kepada sesuatu bangsa. Bahasa turut menjadi salah satu teras utama dalam pembinaan negara bangsa selepas sesebuah negara mencapai kemerdekaan. Dalam konteks negara Malaysia, Dasar Bahasa Kebangsaan merupakan satu daripada dasar penting yang menjadi tunjang perpaduan dan kelangsungan negara bangsa di samping dasar-dasar lain, seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pembangunan Nasional. Namun demikian, mampukah dasar bahasa ini menjadi benteng kukuh untuk menangkis gelombang imperialisme bahasa yang semakin rakus menghakis identiti sesuatu bangsa dan bahasa? Dapatkah bahasa sebagai amanah daripada Tuhan ini dipertahankan tatkala ada bangsa tertentu yang cuba menjajah bangsa lain menerusi bahasa mereka semata-mata atas dasar kemajuan dan pemodenan?

            Imperialisme bahasa merupakan tindakan sesebuah bangsa atau negara yang cuba menguasai sesuatu bangsa atau negara lain melalui kuasa pengaruh bahasa mereka yang bukan hanya terhad melalui kuasa ketenteraan, politik, atau ekonomi. Penjajahan bentuk baharu ini melibatkan pemindahan bahasa paling berpengaruh kepada bangsa-bangsa lain melalui pelbagai wahana, seperti pentadbiran, perniagaan, pendidikan, dan teknologi maklumat, media dan hiburan. Amalan ini merupakan cebisan tinggalan penjajah yang dialami oleh banyak negara di benua Amerika, Afrika dan Asia yang pernah dijajah oleh Inggeris, Sepanyol, Perancis, Portugis dan Belanda ratusan tahun yang lalu. Kesan ini telah meninggalkan rasa rendah diri dalam jiwa penduduk negara yang dijajah lebih-lebih lagi apabila berlaku pertembungan budaya dan bahasa antara bangsa penjajah dengan bangsa yang dijajah.

           Menurut Galtung (1980), imperialisme bahasa lebih dipengaruhi oleh hal yang berkaitan dengan teknologi ketenteraan, komunikasi sosial, aktiviti kebudayaan dan pengaruh ideologi yang menghubungkan negara kuasa besar dengan negara kecil. Selain itu, imperialisme bahasa sering dieksploitasi oleh negara kaya atau maju bagi menguasai negara miskin atau sedang membangun demi kepentingan kemasukan modal ke negara tersebut.

Leave a Reply