PU4

Pengajian Melayu Mempromosikan Kearifan Peribumi

Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin

Beliau berpengalaman luas dalam bidang Semantik dan Pragmatik dan banyak membuat penyelidikan tentang bidang ini melalui pelbagai geran yang diperuntukkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar,Kementerian Pendidikan dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Hasil kajiannya ini dibentangkan dipelbagai forum sama ada di dalam atau luar negara sehingga ada antaranya yang layak diiktiraf sebagai pemenang anugerah kertas kerja terbaik pada peringkat kebangsaan dan dunia. Kejayaan ini telah melayakkan beliau untuk tersenarai sebagai penyelidik cemerlang. Baru-baru ini, beliau dipertanggungjawabkan untuk menerajui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, sebuah institusi penyelidikan yang memfokuskan kajian dalam empat bidang tujahan utama, iaitu Arkeologi dan Budaya Visual Melayu, Bahasa, Persuratan Melayudan Linguistik, Pembinaan Teori dan Epistemologi Melayu serta Sains dan Teknologi Alam Melayu.

Untuk itu, Dewan Bahasa baru-baru ini berkesempatan untuk menemu bual beliau bagi mendapatkan pandangan tentang Pengajian Melayu dan potensi bidang pengajian ini dalam era teknologi maklumat dan komunikasi. Selain itu, wawancara ini bertujuan untuk menyelami hasrat dan tekad beliau dalam merangka hala tuju yang bakal dibawa selaku nakhoda baharu ATMA.

Pengajian Melayu salah satu bidang tertua di Malaysia. Pengajian ini lahir bersama-sama dengan penubuhan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada pandangan Prof., adakah bidang pengajian ini diwujudkan bagi melahirkan ilmuwan bahasa, sastera dan budaya sahaja?

Dari sudut sejarah, dahulu di UKM adanya Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM), pada waktu itu belum masuk sains, teknologi dan sebagainya. Gagasan pada tahun 70-an adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu sebab universiti ini (UKM) memang ditubuhkan sebagai universiti yang memartabatkan bahasa Melayu, satu-satunya universiti yang menerima kemasukan pelajar dari sekolah aliran Melayu. Dahulu kita ada sekolah berpengantar bahasa Inggeris dan pengantar bahasa Melayu.

___

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa, Mei 2014.

Leave a Reply