PERJUANGAN MENGISI KEMERDEKAAN DENGAN BAHASA KEBANGSAAN BELUM SELESAI

Oleh Mohd Riduwan Wahab

Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan setahun sebelum tanah air mencapai kemerdekaan hasil gagasan yang disuarakan oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga yang berlangsung pada tahun 1956. Ini merupakan petanda bahawa sebuah negara yang merdeka memerlukan sebuah badan yang bertanggungjawab membina dan mengembangkan bahasa sebagai identiti yang bakal mengisi ‘kemerdekaan’ sesebuah negara yang berdaulat. Bahasa seumpama roh yang bakal menghidupkan pembangunan fizikal sesebuah negara yang merdeka. Bermula daripada detik itulah gerakan pembinaan korpus bahasa dan pembinaan taraf bahasa dijalankan dengan giat dan terancang. Gerakan ini merupakan manifestasi jerih payah perjuangan tokoh dan ilmuwan bahasa dalam memenuhi aspirasi Laporan Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan Laporan Jawatankuasa Penyemakan Pelajaran Rahman Talib 1960 yang kemudiannya menjadi ciri penting dalam Akta Pelajaran 1961.

Biarpun peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub jelas dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, perjuangan memartabatkan bahasa ini sebagai bahasa rasmi masih dihambat pelbagai cabaran. Masakan tidak, peruntukan ini gagal diterjemahkan dalam bentuk amalan apabila masih kedapatan majlis rasmi yang rata-rata khalayaknya terdiri daripada warganegara Malaysia dikendalikan dalam bahasa asing. Situasi ini memaksa Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 untuk menegaskan peruntukan yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu.

Sebenarnya laluan perjuangan mengisi kemerdekaan dengan bahasa kebangsaan ini masih panjang meskipun kita kini telah menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-56. Sempena ulang tahun kemerdekaan ini, kita perlu bermuhasabah dan meneliti jauh ke dalam diri tentang sejauh mana sumbangan kita sebagai rakyat Malaysia dalam memastikan ‘roh’ kepada negara, iaitu bahasa kebangsaan terus hidup untuk mengisi ‘jasad’ kemerdekaan negara. Sempena ulang tahun kemerdekaan yang telah menjangkau usia lebih lima dekad ini, marilah kita berdoa semoga bahasa kebangsaan akan tetap merdeka dan tidak akan kembali ‘dijajah’ dan merempat di bumi sendiri. MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Leave a Reply