Keindahan Bahasa Melayu Merentas Zaman

DB : Apakah pandangan tuan tentang kemahiran berbahasa Melayu generasi sekarang dalam zaman siber kerana mereka lebih cenderung berinteraksi menggunakan internet?

NHO : Kita tidak boleh menyalahkan teknologi dalam hal ini. Pada pandangan saya, bukan teknologi yang “menjahanamkan” bahasa tetapi sikap penggunanya. Banyak perisian dan laman web yang menggunakan bahasa Melayu. Oleh hal yang demikian, tidak timbul masalah tidak mahir berbahasa Melayu dalam kalangan remaja tersebut.

Walau bagaimanapun, pengguna teknologi maklumat ini, tidak kira tua atau muda, perlu berhati-hati dan berhemah ketika menggunakan laman sosial atau SMS. Pengguna perlu menjaga kesopanan bahasa yang digunakan kerana setiap ungkapan yang digunakan akan tersebar dengan

pantas dan meluas. Sesetengah pengguna ini terlalu taksub dengan teknologi ini sehingga terlalu memberikan tumpuan kepada laman sosial atau SMS dan mengabaikan orang yang sedang berbicara di hadapannya. Kelakuan ini menunjukkan bahawa pengguna tersebut tidak menghormati orang yang berada di sekelilingnya.

Dasar pendidikan juga memainkan peranan untuk memastikan pelajar tahu membezakan bahasa untuk suasana formal daripada tidak formal. Dalam hal ini, pembelajaran subjek Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu perlu diberi perhatian dan penekanan. Melalui pendidikan formal ini, pelajar akan terdidik untuk menghayati dan menghargai bahasa dan sastera Melayu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.

2 thoughts on “Keindahan Bahasa Melayu Merentas Zaman”

  1. Penggunaan bahasa melayu penting patut di tekankan dari awal. Seperti di negara luar France & Jepun, bahasa ibunda di utamakan. Di Malaysia tidak, sampai kereta nasional pun nama Prevé .

Leave a Reply