Kesan 1824

Pada asasnya, kedua-dua buku tatabahasa ini disusun bagi memenuhi keperluan masyarakat penuturnya.

Judul : Perbandingan antara Tatabahasa Dewan dengan Tatabahasa Baku Bahasa Indonesia

Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun : 2013

Harga : RM50.00

Jika di Malaysia dinamakan bahasa Melayu (BM), di Indonesia pula disebut bahasa Indonesia (BI). Kedua-duanya merupakan bahasa serumpun. Penggunaan kedua-dua bahasa tersebut oleh penuturnya di negara masing-masing didapati mempunyai persamaan dan perbezaan. Hal ini sudah tentu disebabkan oleh pengaruh kedua-dua bahasa itu dengan bahasa-bahasa daerah yang terdapat baik di Malaysia mahupun di Indonesia. Selain itu, latar belakang penjajahan yang berbeza juga memberi kesan, yakni BM lebih dipengaruhi oleh bahasa Inggeris manakala BI dipengaruhi oleh bahasa Belanda. Persamaan dan perbezaan juga merupakan kesan daripada Perjanjian London pada tahun 1824.

Persamaan dan perbezaan antara BM dengan BI telah dikaji dan dibentangkan secara terperinci oleh Hassan Alwi dalam buku Perbandingan antara Tatabahasa Dewan (TBD) dengan Tatabahasa Baku Bahasa Indonesia (TBBI). Dalam kajiannya, bahan utama yang digunakan oleh Hasan ialah buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1997) dan buku Tata Bahasa Baku Bahasa Indonesia, Edisi III (1998).

Persoalan utama yang dibincangkan dalam TBD dan TBBI ialah hal yang sama terdapat dalam BM dan BI, iaitu hal yang berkaitan dengan “fonologi” (tata bunyi), “morfologi” (pembentukan kata) dan “sintaksis” (struktur ayat). Pada umumnya ketiga-tiganya tidak mempunyai perbezaan yang besar antara BM dalam TBD dengan BI dalam TBBI. Contohnya, TBD mentakrifkan “ayat” sebagai “unit pengucapan paling tinggi yang memiliki makna”, manakala bagi TBBI, “kalimat” dinyatakan sebagai “satuan bahasa terkecil yang memiliki makna”. Disebabkan oleh perbezaan itu, maka masalah wacana tidak dibincangkan sebagai tajuk utama dalam TBD, manakala dalam TBBI terdapat huraian tentang “wacana sebagai tingkat kebahasaan yang lebih tinggi daripada ayat”.

Oleh DIARANI MAT ADAM

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.

Leave a Reply