Adityawarman Ahli Bahasa?

Oleh MOHAMMAD ALINOR ABDUL KADIR

Tatabahasa bahasa Sanskrit sememangnya dibincangkan di Alam Melayu. Namun begitu, bagi menyatakan bahawa tatabahasa bahasa Sanskrit mempengaruhi tatabahasa bahasa Melayu Kuno atau tatabahasa Melayu Kuno wujud sebelum kedatangan tatabahasa bahasa Sanskrit, kedua-duanya masih memerlukan maklumat dan bukti lanjut. Yang pasti, tatabahasa bahasa Sanskrit wujud dalam kebudayaan Funan-Chenla. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat dua bukti yang terpahat pada Prasasti Raja Yasovarman (810-840SM/888- 918M).

Menerusi buku yang dikarang oleh Panini sekitar tahun 450- 350M, terdapat perkataan Astadhyayi Panini. Selepas itu terdapat perkataan Mahabhasya Patanjali dalam buku yang ditulis oleh Patanjali sekitar kurun ke-2. Buku ini mengulas buku yang diusahakan oleh Panini. Walau bagaimanapun, sehingga kini masih belum terjawab cara kedua-dua buku ini berfungsi dalam kajian ketatabahasaan bahasa Sanskrit serta pengaruhnya terhadap ketatabahasaan bahasa Funan-Chenla (Kun-Lun) dan bahasa Khmer Purba.

Menerusi “kajian pengelasan pengetahuan” yang dilakukan pada awalnya oleh Majumdar dan Finot terhadap sejumlah 210 prasasti Campa, mereka telah menyenaraikan tatabahasa Panini dan buku ulasan tentang Panini, iaitu Kashikavrtti, yang dikarang oleh Jayaditya dan Vamana sekitar kurun ke-7. Kajian tentang tatabahasa bahasa Campa merupakan kajian yang agak popular. Mungkin suatu masa nanti kita dapat mengesahkan sama ada tatabahasa bahasa Sanskrit mempengaruhi tatabahasa bahasa Campa ataupun mungkin tiada pengaruh langsung.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.

Leave a Reply