Pemimpin dalam Puisi

Oleh HAMZAH HAMDANI

Apabila berbicara mengenai pemimpin, kita akan selalu memikirkan manusia yang seharusnya mempunyai sifat, sikap dan usaha yang baik demi kepentingan mereka yang dipimpinnya. Pemimpin yang bersifat dan bersikap tidak baik akan membawa mereka yang dipimpinnya ke jalan kemusnahan. Sejarah telah menyaksikan kisah pemimpin yang zalim, bukan sahaja membawa kehancuran kepada bangsanya malah memporak-perandakan dunia, seperti kisah Firaun dan Hitler. Sikap kepimpinan mereka dipengaruhi oleh cita-cita peribadi yang menyimpang daripada jalan kemanusiaan atau jalan yang diredai Allah SWT.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar ra, Rasulullah SAW bersabda, “Setiap kamu ialah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap orang yang dipimpinnya.” Hal ini bermakna, setiap orang diamanahkan oleh Allah SWT sebagai pemimpin, sama ada pemimpin kepada diri sendiri, ahli keluarganya, masyarakatnya, negerinya, ataupun negaranya. Kita tidak akan terlepas daripada pertanggungjawaban amanah tersebut, iaitu apa-apa yang telah kita lakukan terhadap mereka yang kita pimpin. Amat berat amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita seandainya kita menyedarinya. Namun begitu, banyak manusia yang berlumba-lumba untuk mengejar kedudukan sebagai pemimpin, terutama pemimpin yang kelak membawa imbalan kepada kemasyhuran dan kekayaan.

Pada kebiasaannya, dalam masyarakat tradisi, kepimpinan ialah tugas yang diwariskan. Putera raja akan mewarisi takhta ayahandanya dalam sesebuah kerajaan. Demikian juga kepimpinan para pembesar akan diwariskan kepada anaknya. Terdapat juga pemimpin yang lahir kerana bakat dan keberaniannya, seperti tokoh legenda Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka mewarisi kepimpinan generasi terdahulu dan tidak perlu berjuang menonjolkan diri untuk diterima sebagai pemimpin. Dalam masyarakat feudal, orang bawahan menerima kepimpinan dengan taat setia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.

Leave a Reply