Keindahan Bahasa dalam Puisi Penyair Tradisional dan Moden

Oleh SALMAN SULAIMAN

Bahasa tulisan ialah medium penyampaian pemikiran dan wadah pengucapan untuk menyebarkan maklumat serta ilmu yang digunakan sejak dahulu lagi. Salah satu penyampaian ilmu tersebut adalah melalui karya puisi yang dihasilkan oleh para penyair sejak beberapa abad yang lampau. Menurut Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku kajian terkemuka beliau, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Hamzah Fansuri ialah sasterawan dan penyair yang menulis pada abad ke-16 yang selayaknya diberi gelaran Bapa Kesusasteraan Melayu Moden. Kenyataan Syed Muhammad Naquib ini menolak dakwaan sarjana yang menobatkan Abdullah Munsyi sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden.

Ketokohan Hamzah Fansuri sebagai penulis yang menggunakan medium bahasa Melayu untuk menyampaikan pemikiran dan ilmu pengetahuan kepada para pembacanya menyerlah dalam sekian banyak hasil karya tulis beliau seperti Asrar u’l-‘Arifin, Sharabu’l-‘Asyikin dan Al-Muntahi. Antara puisi beliau termasuklah Syair Jawi fi Bayan ‘Ilm al-Suluk wa al-Tawhid, Syair Perahu, Syair Si Burung Pingai dan Syair Dagang. Setelah meneliti karya Hamzah Fansuri yang menggunakan keindahan bahasa Melayu sebagai medium penulisan ini, Syed Muhammad Naquib menegaskan, “Beliaulah manusia yang pertama menggunakan bahasa Melayu dengan secara rasional dan sistematik; yang dengan inteleknya merangkum keindahan fikiran murni yang dikandungkannya dalam bahasa yang telah diperolahkan hingga sanggup berdaya menyusul lintasan alam fikiran, yang berani menempuh saujana lautan falsafah.”

Kita dapat melihat keindahan bahasa yang digunakan oleh Hamzah Fansuri dalam puisi beliau. Salah satu puisi beliau yang terkenal ialah Syair Perahu. Lenggok bahasa dan adunan kata bahasa Melayu dalam puisi tersebut sangat indah seperti dalam rangkap yang berikut:

Ingati sungguh siang dan malam,

lautnya deras bertambah dalam,

angin pun keras, ombaknya rencam,

ingati perahu jangan tenggelam.

Jikalau engkau ingati sungguh,

angin yang keras menjadi teduh,

tambahan selalu tetap yang cabuh,

selamat engkau ke pulau itu berlabuh.

Sampailah ahad dengan masanya,

datanglah angin dengan paksanya,

belajar perahu sidang budimannya,

berlayar itu dengan kelengkapannya.

Wujud Allah nama perahunya,

ilmu Allah akan [dayungnya]

iman Allah nama kemudinya,

“yakin akan Allah” nama pawangnya.

Apabila berulang-ulang kali menikmati Syair Perahu ini, kita akan faham bahawa perahu yang dimaksudkan bukannya perahu biasa tetapi perahu iman dan juga perahu kehidupan. Puisinya ini mengandungi nilai falsafah yang tinggi, iaitu perlunya kelengkapan yang cukup untuk meneruskan perjalanan hidup yang panjang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.

Leave a Reply