Bahasa SMS Penyeri Landskap Bahasa Melayu pada abad ke-21?

Oleh SUPYAN HUSSIN

Sebelum abad ke-21, kita mempunyai landskap bahasa Melayu yang diwarnai oleh pantun, syair, sajak, gurindam, peribahasa, bidalan, dan dialek daerah dalam rumpun Melayu itu sendiri. Menjelang abad ke-21 pula, bahasa Melayu mula dilanda bahasa SMS atau sistem pesanan ringkas yang mencabar keutuhan bahasa Melayu untuk terus relevan dan lestari. Bahasa SMS merupakan kod bahasa yang digunakan dalam telekomunikasi internet, telefon bimbit serta telefon pintar. Bahasa terdiri daripada kod teks yang diringkaskan dan piktograf (simbol termasuk smiley dan emotikon) bagi menyampaikan mesej dalam konteks komunikasi tidak formal. Kod yang digunakan dalam bahasa SMS, sama ada singkatan teks atau piktograf, amat bersesuaian dengan maksud dan tujuan SMS yang bermakna Short Message Service. Sesungguhnya, kewujudan bahasa SMS pada era teknologi maklumat masa kini telah menambahkan seri perkembangan bahasa Melayu. Input baharu dalam bahasa SMS tidak menjejaskan keutuhan bahasa Melayu; malahan menjadikan bahasa Melayu terus hidup berkembang dan relevan dalam telekomunikasi moden.

Perbahasan mengenai sama ada bahasa SMS merosakkan bahasa baku atau tidak telah berlaku hampir sedekad lalu, dan kesimpulannya tidak semua bahasa SMS merosakkan bahasa Melayu baku dalam konteks komunikasi tidak formal. Bahasa SMS hanyalah bersifat sementara sehinggalah teknologi yang ternyata berubah begitu pantas itu mampu menawarkan khidmat pesanan ringkas yang membenarkan pengguna menulis

pesanan lebih daripada 160 aksara seperti yang terdapat dalam aplikasi SMS yang lain, iaitu Whatsapp dan Viber. Kini aplikasi SMS sudah memiliki penyemak ejaan yang boleh membetulkan ejaan pengguna sebelum suatu pesanan dihantar. Hal ini bermakna isu pencemaran bahasa Melayu dalam penggunaan SMS akan lenyap begitu sahaja. Dalam erti kata lain, bagi konteks formal seperti komunikasi, peperiksaan, tugasan, dan penulisan kertas kerja, bahasa SMS seharusnya dilarang penggunaannya. Guru,ketua jabatan,ketua pengarang akhbar, penyunting siaran televisyen, dan pihak yang berkaitan perlulah sensitif terhadap penggunaan bahasa baku dan bahasa SMS dalam semua konteks komunikasi formal tersebut. Kebenaran untuk menggunakan bahasa SMS dalam apa-apa jua bentuk penulisan formal merupakan tindakan yang akan merosakkan bahasa Melayu baku.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.

Leave a Reply