Unsur Alam Mewarnai Lirik Lagu Melayu

Oleh M MASCITAH MANSOR

Tiada kata secantik bahasa,

Untukku puji adinda,

Tiada gambar secantik lukisan,

Nakku tunjuk perasaan.

Terdengar sahaja alunan lagu nukilan P. Ramlee dan Jamil Sulong ini, perasaan kita menjadi asyik dan terbuai-buai sejenak. Selain kemerduan suara Allahyarham P. Ramlee, lirik dan seni kata tersebut memercik rasa sehingga menimbulkan kesan yang mendalam dan sangat bermakna kepada pendengar. Ungkapan “tiada kata secantik bahasa” begitu menyerlahkan keupayaan dan keunikan bahasa kita. Di samping pemilihan kata yang tepat, unik dan indah, ungkapan tersebut cuba menyampaikan mesej tentang sifat dan nilai bahasa Melayu yang tinggi tiada taranya.

Merujuk Kamus Dewan, “cantik” bermaksud sangat menarik apabila dipandang dan sangat elok (bagus dan molek). Hal ini jelas menunjukkan bahawa interaksi sosial melalui penyampaian lagu, bukan hanya melodi yang menjadi nadi lonjakan sesebuah lagu itu. Lirik lagu yang bermutu turut menjadi sandaran sesebuah lagu diminati dan berharga. Penyataan ini diteguhkan lagi dengan pendapat penyair Zurinah Hassan, “Menulis lirik perlu menggunakan bahasa yang baik. Bahasa kita memang cantik, orang kita kaya dengan perbendaharaan kata, kita ada perumpamaan yang boleh kita gunakan. Menulis lirik ialah satu tanggungjawab. Sampai hari ini saya menulis lirik dengan kamus di sebelah saya.”

Latar belakang penulisan lirik lagu berkaitan rapat dengan industri muzik. Hal ini bermula dengan muzik dalam industri filem, diikuti oleh muzik dalam industri penyiaran. Lagu Hitam Manis dan Terkenang Semasa Dahulu menjadi popular kerana wujudnya media filem dan radio pada tahun 1950-an. Lagu ciptaan Allahyarham P. Ramlee juga dipopularkan melalui radio. Pada pertengahan tahun 1960- an, “kumpulan gitar rancak” atau kugiran yang sekarang dikenali sebagai “pop yeh yeh” telah melanda tanah air.

Apabila membicarakan tentang kejayaan sesebuah lagu, banyak faktor yang menjadi penentunya. Antaranya termasuklah peranan pencipta lagu, penggubah muzik, pemuzik, jurutera bunyi dan tidak ketinggalan tanggungjawab yang perlu digalas oleh penulis lirik. Penulis lirik tidak henti-henti mencari ilham dan menjanakan idea bagi menghasilkan nukilan yang indah, baik dan berseni. Bagi menghasilkan lirik yang bermutu, permainan bahasa amat penting. Oleh itu, sebelum bersandiwara dengan bahasa, kita hendaklah mengetahui dan memahami erti bahasa. Bahasa bukan hanya sebagai wadah perhubungan atau interaksi semata-mata, malah bahasa mampu melangkaui sempadan. Bahasa ialah pemancar daya intelektual individu, masyarakat, bahkan bangsa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.

Leave a Reply