Bahasa Indah Cerminan Diri

Oleh Rahemah Ahmad

Sejak zaman dahulu, bahasa Melayu memperlihatkan keindahan bahasanya menerusi seloka, pantun, puisi, gurindam, dan pepatah. Warisan budaya ini menjadi khazanah yang amat berharga yang seharusnya diperturunkan kepada generasi berikutnya. Walau bagaimanapun, generasi kini kurang menghayati dan menghargai warisan ini disebabkan tradisi bergurindam dan berseloka semakin pupus.

Begitu juga pada zaman dahulu, tradisi menulis surat menjadi penghubung antara keluarga dengan orang yang dikasihi yang berjauhan. Tradisi ini memperlihatkan kesopanan dan keindahan bahasa dalam surat-menyurat yang menjadi pengganti diri penulis. Tidak hairanlah ada surat yang masih disimpan sebagai kenangan dan menjadi bukti adab sopan apabila mengatur kata.

Zaman berlalu dan kini alam siber menguasai dunia. Laman web dan telekomunikasi menjadi wadah untuk insan berhubung dan berinteraksi. Zaman siber ini memerlukan komunikasi yang ringkas dan pantas. Laman sosial dan sistem pesanan ringkas (SMS) menjadi perantara komunikasi manusia seluruh dunia. Setiap kalimat diungkapkan menerusi ketikan di hujung jari. Dalam ketaasuban berkomunikasi secara pantas ini, keindahan bahasa dan tatabahasa diketepikan. Hasilnya, wujudlah bahasa SMS dan bahasa laman sosial yang tidak mungkin terfikirkan oleh manusia pada zaman dahulu.

Bahasa SMS dan bahasa laman sosial ini sesuai dan normal dalam ruang lingkup komunikasi yang tidak formal. Walau bagaimanapun, ada bahaya dan mudaratnya apabila setiap luahan perasaan atau fikiran dilontarkan hanya melalui ketikan di hujung jari. Natijahnya, bahasa yang diluahkan biasanya tidak difikirkan dan disaring dahulu sebelum dipaparkan di alam siber.

Walau apa-apa bentuk pun komunikasi, adab dan sopan perlu dipelihara. Jika pada zaman dahulu, teguran dilakukan secara kiasan, yang bukan sahaja terserlah keindahan dan kesopanannya, tetapi yang lebih penting tidak mengguris perasaan atau mengaibkan insan yang ditegur. Selain menjaga perasaan insan lain, setiap kalimat yang dipaparkan menunjukkan peribadi penuturnya. Sementelah, bahasa itu menjadi cerminan diri penuturnya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>